Isu Panas

Nik Aziz minta selesaikan isu Menteri Besar Selangor di meja rundingan

BEKAS Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu Menteri Besar Selangor perlu diselesaikan di meja rundingan sebelum bercakap siapa yang patut menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mursyidul Am Pas itu melalui blognya, berkata, sebagai Menteri Besar, Khalid menunjukkan kecemerlangan hingga sekali lagi membolehkan pakatan mengekalkan pemerintahan di Selangor.

“Sudah tentu persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya? Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan?

“Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai,” katanya.

Kata Nik Aziz, Pas ada nakhodanya iaitu Presiden, Datuk Seri Abduk Hadi Awang dan beliau penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini,” katanya.

Kata Nik Aziz, beliau pada mulanya tidak berhasrat untuk mengulas isu Menteri Besar Selangor memandangkan ketika itu berada di 10 Ramadan.

“Yang entah sempat atau tidak kita bersua dengan Ramadan di tahun hadapan. Sewajarnya tempoh terbaik di bulan yang terbaik ini digunakan dengan sepenuh tumpuan untuk kita menggandakan amal ibadat agar dikurniakan ganjaran yang terbaik oleh ALLAH SWT.

“Bagaimanapun, saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Presiden Pas yang mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.

“Ramadan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik. Seolah-olah kenyataan Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan. Saya membaca kenyataan Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau.

“Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Abdul Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar?

“Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam Pilihan Raya Umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan,” katanya.

Katanya, cukuplah jika beliau menyatakan buat mada ahli Pas hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Presiden parti.

“Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik. Pesan saya, selesaikan polemik ini dengan baik.

“Keruh di hulu selesaikan di hulu, jangan biar ia berhilir Jangan keruh di hulu diheret panjang. Utamakan perbincangan sesama kita agar rakyat tidak bosan mendengar hiruk pikuk pertengkaran suami isteri.

“Pada saya, ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat. Wajib diingat, Pakatan Rakyat perlu terus kukuh bertahan dalam medan politik negara.

“Akar umbi perlu sentiasa segar dengan maklumat agar sikap dan tingkah laku pemimpin difahami dengan jelas. Jika akar rapuh, pohon yang rendang sekalipun tidak akan bertahan lama,” katanya.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");