Sukan Hari Ini

Hafifi raih emas pertama negara

HAFIFI menunjukkan reaksi bersyukur selepas berjaya melakukan jumlah angkatan 305kg dalam acara angkat berat pada Sukan Komanwel 2014 di Galsgow awal pagi semalam:-

GLASGOW – Atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor mengakhiri penantian pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel 2014 awal pagi semalam.

Hafifi tampil cemerlang untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara pada temasya kali ini menerusi acara angkat berat kategori 69 kilogram (kg).

Pada aksi yang berlangsung di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint itu, Hafifi berjaya mengangkat bebanan seberat 135kg dalam disiplin snatch dan 170kg (clean and jerk) untuk jumlah keseluruhan 305kg.

Pingat perak acara tersebut dimenangi Yinka Ayenuwa dari Nigeria dengan 302kg manakala pingat gangsa menjadi milik Omkar Otari dari India dengan 296kg.

Seorang lagi atlet negara, Mohammad Huzairi Ramli menamatkan saingan di tempat kelima dengan jumlah angkatan 290kg.

Hafifi ketika ditemui menjelaskan bahawa kejayaannya meraih pingat emas itu merupakan hasil kesabaran serta mematuhi arahan jurulatih yang tidak mahu dia terjebak dengan perang psikologi daripada barisan pencabarnya.

“Pada mulanya saya memang geram dan tercabar sebaik melihat atlet dari Nigeria (Yinka Ayenuwa) itu mahu membuat angkatan seberat 176kg bagi clean & jerk. Saya memang berniat untuk memintas jumlah angkatannya tetapi jurulatih enggan membenarkan saya berbuat demikian.

“Ini kerana beliau tahu ia lebih kepada serangan psikologi sahaja dan meminta saya bersabar. Hasilnya pingat emas menjadi milik kami,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hafifi turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan penyokong yang memberi sokongan menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“Kemenangan ini adalah untuk Mak (Norizam Embong) di kampung (Kuala Terengganu), setiap kali saya membuat angkatan saya akan menyebut nama Mak, terima kasih Mak yang sentiasa menyokong serta mendoakan saya,” katanya.

Hafifi turut meluahkan hajatnya untuk membantu keluarga dengan hasil duit ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM80,000 yang bakal diterimanya nanti.

“Saya mahu menggunakan duit ganjaran nanti untuk membantu ibu saya di Kuala Terengganu,” katanya.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");