Isu Panas

PR mungkin berpecah kerana isu MB

GEORGETOWN – Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya tidak menolak kemungkinan PR akan berpecah berikutan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Katanya sudah nampak perbezaan dalam Pas apabila majoriti ahli parti itu menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar tetapi ada yang mempertikaikan suara majoriti itu.

Perbezaan dalam Pas itu dilihat apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar tetapi Timbalannya, Mat Sabtu dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar secara terbuka mempertikaikan pendirian itu.

“Kemungkinan besar berlaku (perpecahan). Di politik apa yang boleh berlaku akan berlaku dan ia tidak mustahil.

“Kita tunggu dan lihat,” kata Hilmi, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, kepada pemberita pada jamuan malam sempena Aidilfitri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang membayangkan kemungkinan PR akan berpecah kerana krisis Menteri Besar Selangor.

Guan Eng dipetik berkata, tindakan salah satu parti komponen yang menidakkan persetujuan Majlis Pimpinan PR boleh menyebabkan kredibiliti dan survival
gabungan itu tergugat.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendirian Abdul Hadi menidakkan keputusan Majlis Pimpinan PR untuk mencalonkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, jamuan malam sempena Aidilfitri, yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Balik Pulau, turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Jamuan yang dihadiri lebih 10,000 orang itu diadakan secara sederhana bagi menghormati tragedi MH17 yang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");