Jenayah

Terkilan tak beli kasut baru

anak mati

Jasin: “Arwah beriya sangat meminta saya pakaikan gincu di bibirnya pada pagi hari raya, katanya bibir dia nampak pucat sebelum dia melumur losyen pada kedua tangannya, katanya supaya dia nampak segar semasa berjalan raya,” kata Norzailin Harun, 37, ibu kepada Muhammad Sholidatul Sholihin Mohamad Aznin, 8, yang maut dirempuh kereta di Jalan Batang Melaka-On Lock, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa bersama abangnya Muhamad Azizul Zairin, 11, dan sepupunya Siti Shafika Nurain Rizal, 7, sedang melintas jalan untuk kembali ke rumahnya di Taman Seri Hilir, di sini, sebelum dirempuh sebuah kereta Honda Civic yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.

“Pada pagi itu, hati saya menjadi sayu lantas saya memeluk cium kesemua anak termasuk arwah kerana pada Aidilfitri sebelum ini, anak-anak hanya mencium tangan tidak seperti semalam (kelmarin). Saya tidak menyangka bahawa itu adalah petanda dia menghadap Ilahi.”

Norzailin berkata, dia cukup terkilan dengan pemergian anaknya itu kerana tidak dapat menunaikan permintaan Muhammad Sholidatul Solihin yang mahukan sepasang kasut baru untuk dipakai pada pagi hari raya, sebaliknya hanya mampu membelikan arwah sepasang selipar.

“Sedih kerana saya dan suami (Muhamad Aznin Ishak, 42) tidak mampu memenuhi permintaan arwah yang mahukan sepasang kasut kerana suami cuma melakukan kerja-kerja kampung.

“Arwah bersama abang dan sepupunya keluar beraya di rumah jiran dan pulang ke rumah semula pada tengahari sebelum mereka bertiga keluar semula, katanya mahu cari duit raya sebanyak yang mungkin untuk membeli sepasang kasut.

“Malangnya hasrat arwah tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sewaktu kembali ke rumah,” katanya redha.

Bapa mangsa, Muhamad Aznin ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Jasin berkata, dua bulan sebelum itu dia kerap bermimpi anaknya terjatuh dari bangunan tinggi dan terdengar bisikan suara anaknya yang gagal diselamatkan.

“Dua bulan lalu, ketika saya bekerja di bandar Melaka, saya kerap bermimpi arwah terjatuh dari bangunan tinggi, apabila terjaga dari tidur saya terus balik ke rumah dan mendapati arwah tidur lena lalu saya memeluk arwah sepuas-puasnya sebagai tanda syukur.

“Terdetik di hati saya, mungkin ini petanda arwah akan pergi meninggalkan kami lebih awal dan ternyata petang semalam (kelmarin) arwah pergi juga pada hari raya pertama,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");