Jenayah

Bank ‘dibom’ penyamun

bank bom

Hulu Selangor: “Saya sangka ia bunyi orang bermain meriam dan langsung tak terfikir ia letupan bom,” kata seorang penduduk kawasan perumahan yang juga saksi kejadian letupan bom buatan sendiri di sebuah bank di Bukit Beruntung, semalam.

Dia yang mahu dikenali sebagai Siva berkata bunyi letupan dari arah bank itu sungguh kuat sehinggakan boleh didengari ke kawasan perumahan penduduk sekitar yang menyebabkan mereka keluar untuk memastikan apa yang berlaku.

Dia memberitahu dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu keadaan bank terutama di bahagian mesin juruwang automatik (ATM) yang ranap dengan kaca bertaburan di atas jalan raya.

“Semasa saya tiba orang ramai sudah mengerumuni lokasi kejadian dan saya lihat banyak serpihan tercampak keluar dari bank itu sebelum pihak berkuasa tiba untuk melakukan siasatan,” katanya.

Sementara itu, sumber polis memberitahu siasatan awal mendapati ia cubaan samun ke atas bank terbabit yang mana dipercayai dilakukan oleh kumpulan penjenayah profesional.

Sumber berkata hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui telefon bimbit dipercayai milik seorang anggota kumpulan suspek yang tertinggal di bank berkenaan dan kini sedang dianalisis bagi mengesan suspek.

“Hasil siasatan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) di bank itu mendapati dua suspek menunggang motosikal sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam bank dengan memakai topi keledar bertutup penuh.

“Suspek itu meletakkan satu bungkusan dipercayai bom di bawah sebuah mesin ATM sebelum ia meletup. Polis tidak menolak kemungkinan tempoh memasang bom itu hanya mengambil masa dua minit dan berdasarkan analisis awal ia meletup dalam tempoh kurang 30 saat selepas dipasang,” katanya.

Menurut sumber lagi, polis turut menemui satu bom buatan sendiri kira-kira empat meter dari lokasi kejadian sebelum unit pemusnah bom dipanggil bagi mematikannya.

Siasatan itu mendapati ia diperbuat daripada paip PVC dan diisi dengan bahan letupan jenis ‘phyrotechic’ yang dianggarkan seberat 200 hingga 500 gram.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Risikan dan operasi) Asisten Komisioner Roslan Radzi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan kumpulan suspek berdasarkan beberapa petunjuk yang diperolehi polis.

“Tiada wang tunai yang dapat dilarikan penjenayah berkenaan dan siasatan masih lagi diteruskan berhubung mengapa wang tunai itu gagal dilarikan suspek,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");