Jenayah

Empat cedera dalam dua kemalangan berasingan

kemalangan

IPOH – Empat kenderaan terbabit dalam dua kemalangan berasingan dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 46 Jalan Raya Timur Barat berhampiran Pos Air Banun, Gerik, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pertama yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kereta Proton Wira yang dinaiki empat sekeluarga dari arah Jeli menuju ke Gerik dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh tajam sebelum terbabas melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dari arah bertentangan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Gerik, Mior Muhamad Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.47 tengah hari semalam.

Menurutnya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan satu jentera ke tempat kejadian dan tiba pada jam 1.40 petang.

“Ketika kejadian hujan lebat dan sepanjang perjalanan kami ke tempat kejadian kami turut melihat beberapa kemalangan kecil berlaku di kiri dan kanan jalan,” katanya.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian mereka mendapati pemandu kereta Proton Wira mengalami cedera parah manakala dua lagi cedera.

“Seorang penumpang kereta Proton Wira dan empat sekeluarga yang menaiki Toyota Wish tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam perkembangan sama, Mior Muhamad berkata, ketika operasi menyelamat mangsa dijalankan, berlaku kemalangan kedua kira-kira 15 meter dari lokasi kemalangan pertama.

“Kejadian itu melibatkan kereta Perodua Viva dari arah Jeli telah terbabas ke kiri jalan lalu melanggar trak penunda yang diletakkan di bahu jalan.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan penumpang kereta cedera manakala pemandunya selamat.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");