Isu Panas

PR ada potensi berpecah

Dr Ahmad Atory Hussain

SHAH ALAM – Tindakan PKR mahu meletakkan Adun Kajang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor boleh menyebabkan perpecahan dalam PR.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, perpecahan boleh diandaikan berlaku kerana pimpinan dalam PR selesa dan berpuas hati dengan corak pemerintahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor.

“Saya hanya meramal dan mungkin ini (perpecahan) akan berlaku memandangkan Abdul Khalid dilihat mampu mengurus tadbir negeri dengan cemerlang dan tiada alasan untuk menukarkan Menteri Besar Selangor.

“Jika meneliti rekod, Wan Azizah tiada pengalaman mengurus tadbir negeri kerana tidak pernah dilantik menjadi menteri. Jadi timbul persoalan adakah Wan Azizah berjaya mentadbir Selangor atau hanya dibayangi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, semalam.

Jelas Ahmad Atory, Wan Azizah juga tidak mempunyai pengalaman seperti Abdul Khalid yang merupakan tokoh korporat serta mahir dalam selok-belok pentadbiran dan ekonomi demi memastikan Selangor maju membangun.

“Wan Azizah juga tiada pengalaman ekonomi. Jadi kita tak pasti sama ada Wan Azizah lebih berkesan untuk mentadbir Selangor atau lebih teruk daripada Abdul Khalid.

“Apa yang kita lihat Ketua Umum PKR, Anwar hendak meletakkan isterinya sebagai menteri besar semata-mata untuk meneruskan legasinya sahaja,” katanya.

Beliau berpendapat itu antara sebab Pas sepakat memberi sokongan supaya Abdul Khalid dikekalkan.

Malah katanya, kebanyakan pengamal politik mempertikai tindakan Anwar yang enggan mendedahkan beberapa polisi yang dibawakan Abdul Khalid yang dikatakan tidak sesuai atau tidak berkesan.

“Apakah Wan Azizah boleh melancarkan polisi yang didakwa tidak berkesan dilaksanakan oleh Abdul Khalid? Mungkin rakyat juga tidak yakin pentadbiran Wan Azizah lebih lancar daripada pemerintahan Abdul Khalid,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");