Jenayah

Setiap hari ziarah kubur anak lemas

Kuala Pilah: “Ini adalah Aidilfitri pertama mak cik beraya tanpa adik (anak).

“Mak cik rindu dengan dia, setiap hari air mata ini tidak pernah kering untuk mengingatinya dan setiap hari juga mak cik dan suami akan pergi ke kuburnya,” kata Minan Johan, 57, ibu kepada Allahyarham Muhamad Shazwan Abdullah, 20, peserta Festival Belia Negeri Sembilan yang lemas ketika mandi di Pantai Batu 1, Port Dickson, dekat sini, pada 17 Mei lalu.

Minan dan suaminya, Abdullah Mihat, 54, ditemui ketika menziarahi pusara Muhamad Shazwan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepis Hilir, di sini, semalam berikutan merindui anak bongsu daripada enam beradik itu.

Minan yang menggelarkan diri sebagai mak cik berkata, sejak kematian anaknya, kehidupannya begitu sunyi tambahan pula arwah insan yang paling rapat dengannya.

Katanya, kehilangan itu jelas dirasai kerana setiap kali Aidilfitri, Muhamad Shazwan individu penting yang membantunya di dapur untuk menyambut Hari Lebaran.

“Hari raya tahun ini mak cik tidak rasa apa-apa melainkan kerinduan dan terbayangkan wajah arwah.

Kalau di rumah di setiap ruang, hanya wajahnya yang mak cik nampak.

“Kalau Aidilfitri sebelum ini, arwah akan meminta mak cik masakkan rendang ayam, lemang dan ketupat, tetapi tahun ini tiada lagi, mak cik sedih,” katanya.

Menurutnya, biarpun tidak lagi melihat kelibat Muhamad Shazwan, namun dirinya, suami serta keluarga reda dengan pemergian itu.

Katanya, bagi mengubati kerinduan, ahli keluarganya menyimpan gambar Muhamad Shazwan di dalam dompet masing-masing.

Menurut Minan, sejak kematian anaknya, dia dan suami setiap hari akan menziarahi kubur Muhamad Shazwan sejurus habis menoreh getah jam 10.30 pagi.

“Bukan hanya hari raya, tetapi pak cik dan mak cik setiap hari sedekahkan al-Fatihah kepada arwah kerana sayangkannya,” katanya yang menyifatkan Muhamad Shazwan anak yang baik dan tidak melawan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");