Sukan Hari Ini

Indra Kian Bernafsu

indra

Piala Malaysia dan Indra Putra Mahayuddin cukup sinonim dalam kancah saingan paling berprestij itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Apa tidaknya, dalam tempoh itu sudah empat kali dia beraksi di pentas final dan dua kejayaan berjaya dicapai penyerang berusia 32 tahun itu bersama pasukan Kelantan pada 2010 dan 2012.

Jika dilihat kepada pencapaian itu seakan sudah tiada apa lagi tarikan Piala Malaysia buat Indra Putra namun persepsi itu ternyata meleset.

Bersama dengan pasukan baru FELDA United musim ini bermakna dia kembali memulakan misi baru.

Lebih-lebih lagi apabila pasukan The Fighters kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tidak pernah menikmati detik menjulang trofi Piala Malaysia seperti yang pernah dirasai Indra Putra.

“Setiap kejuaraan pasti bermakna apatah lagi kalau anda berjaya melakukannya dengan pasukan yang tidak pernah memenanginya.

“FELDA hampir mencipta sejarah namun tewas di final Piala FA namun kami mencuba untuk melakukannya dalam Piala Malaysia pula selepas ini,” katanya kepada Arena Metro.

Bekas penyerang kebangsaan itu menyertai FELDA musim ini dari Kelantan dan sentuhannya masih berbisa dengan meledak 10 gol dalam liga serta tiga gol ketika membantu pasukannya melangkah ke final Piala FA sebelum tewas 1-2 kepada Pahang.

FELDA akan memulakan kempen Piala Malaysia dengan menentang LionsXII pada 13 Ogos ini sebelum berdepan dua lagi pencabar Johor Darul Ta’zim II dan Pahang dalam Kumpulan A.

Bagi Indra Putra, dia tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan pasukan mara ke final Piala FA Jun lalu kerana menganggap setiap kejohanan pasti menyajikan saingan berbeza.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");