Jenayah

Kebas RM400,000 lepas ikat 3 pengawal

Taiping: Lima perompak bertopeng dipercayai warga asing melarikan wang tunai kira-kira RM400,000 dari dua mesin juruwang automatik (ATM) yang terletak di sebuah pasar raya besar di sini selepas mengikat tiga pengawal keselamatan.

Dalam kejadian antara jam 3.45 hingga 5.50 pagi kelmarin, penjenayah terbabit dipercayai menggunakan gas Oxy untuk memecahkan dan menebuk dua mesin ATM yang terdapat di ruang legar pasar raya berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ismon Suratman berkata, lima perompak terbabit yang bersenjatakan pisau dan kuku kambing sebelum itu mengugut tiga pengawal keselamatan pasar raya berkenaan kemudian mengikat tangan mereka ke belakang menggunakan wayar dan merampas kunci bagi membuka pintu bangunan premis perniagaan berkenaan.

“Sebaik berjaya memasuki premisterbabit, lima perompak itu terus pergi ke dua mesin ATM terbabit sebelum melarikan semua wang tunai yang terdapat di dalamnya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga pengawal keselamatan itu adalah warga tempatan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, polis menjalankan siasatan kes itu daripada pelbagai sudut dan percaya kumpulan perompak itu sudah melakukan penelitian terperinci terhadap premis terbabit sebelum melakukan rompakan.

Mohd Ismon berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Katanya, setakat ini polis belum melakukan sebarang tangkapan berkaitan kes berkenaan dan masih menjalankan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8082222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");