Jenayah

Serangan tepi pantai

Hasrat seorang lelaki bercuti ke negeri ini sempena cuti Aidilfitri membawa padah apabila dia parah selepas ditetak dua lelaki dalam satu kejadian samun di belakang sebuah resort di Tanjung Tuan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Wahab Batang, 31, bersama lapan rakannya datang ke pantai berkenaan dengan menunggang motosikal sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Kota Belud, Sabah dan menetap di Kuala Lumpur diekori dua lelaki berkenaan dari Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum diserang menggunakan senjata tajam dipercayai parang sebaik tiba di pantai di kawasan belakang resort terbabit.

“Ketika mereka mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Port Dickson mangsa mendakwa melihat dua lelaki menaiki Yamaha 125Z, namun dia tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun sebaik tiba, mangsa yang keseorangan di tepi pantai didatangi seorang daripada lelaki berkenaan merentap beg silang mangsa sehingga berlaku pergelutan,” katanya.

Menurutnya, ketika pergelutan itu seorang lagi rakan penjenayah terbabit menyerang mangsa dari arah belakang sebelum melibas senjata tajam dipercayai parang dan mengenai tengkuk, siku dan pinggang mangsa.

“Mangsa yang parah ditetak kemudian rebah sebelum dua penjenayah itu melarikan diri bersama beg silang mangsa yang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai RM700.

“Malang buat mangsa kerana kejadian tidak disedari rakannya yang mandi di pantai sebelum dia dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mangsa yang parah di belakang tengkuk, siku dan pinggang dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

“Kita sudah mengambil keterangan dari mangsa serta rakannya dan siasatan mendapati ia bukan bermotifkan dendam.

Difahamkan mereka pertama kali datang ke pantai berkenaan sempena cuti Aidilfitri.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");