Sukan Hari Ini

Harapan emas lebur

pamdalela

Harapan menuai pingat emas di Kolam Renang Diraja Komanwel, Edinburgh tidak kesampaian apabila hanya memperoleh gangsa menerusi pasangan ujian Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10 meter platform seirama semalam.

Mereka mengumpul 300.2 mata tewas kepada pemegang pingat emas Meaghan Benfeito-Roseline Filion dari Kanada (310.65) dan perak Sarah Barrow Tonia Couch dari England (307.92).

Agak mengejutkan apabila gandingan Leong Mun Yee-Cheong Jun Hoong yang berada dalam ranking teratas hanya di kedudukan keempat.

Mereka mengumpul 298.92 mata jauh daripada mata yang mereka kumpul ketika meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia di Shanghai.

Pandelela agak ceria sekalipun memenangi gangsa kerana alasannya dia hanya sempat berlatih tiga hari bersama dengan Nur Dhabitah.

“Kami juga agak terkejut sebenarnya kerana tidak sangka kerana pada terjunan keempat, kami berada di tempat kedua.

“Apapun ini permulaan baik bagi kami kerana selepas ini Dhabitah akan bersama saya ke Sukan Asia Incheon.

“Juga penyuntik semangat saya mempertahankan pingat emas acara 10m platform individu esok,” katanya.

Ditanya keadaan lutut kirinya, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London itu berkata, dia tidak berasa apa-apa kesakitan tetapi tetap berhati-hati terutama melakukan teknik terjunan.

Sementara itu Nur Dhabitah turut gembira kerana gangsa itu ada pingat pertama Sukan Komanwel baginya.

“Memang agak gementar kerana ini kali pertama saya berpasangan dengan Pandelela (Lela) yang jauh lebih senior dan berjaya daripada saya.

“Saya juga amat berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan.

Namun Lela sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Syukur saya dapat mengikut rentak Lela dan hasilnya menang gangsa,” katanya yang akan mengambil bahagian dalam dua lagi acara iaitu 1m dan 3m papan anjal seirama.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");