Jenayah

Kanak-kanak 3 tahun nyaris diculik

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun nyaris diculik seorang lelaki tidak dikenali di Taman Loke Yew, Tanjung Malim dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 malam itu, bapa bersama mangsa dari Kalumpang ke rumah rakannya di Taman Loke Yew, Tanjung Malim menaiki kereta Honda Accord.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah rakannya kira-kira setengah jam kemudian, bapa mangsa keluar dari kereta dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan meninggalkan mangsa yang sedang tidur bersendirian di dalam kereta.

“Semasa bapa mangsa sedang berborak bersama rakannya di hadapan kereta, tiba-tiba rakannya memberitahu ada seorang lelaki masuk ke dalam kereta melalui pintu belakang penumpang sebelah kiri.

“Bapa mangsa mengesyaki lelaki terbabit cuba melarikan mangsa dan keretanya.

“Dia bersama rakannya cuba menahan suspek dan berlaku pergelutan namun suspek berjaya melarikan diri.

“Jeritan bapa mangsa meminta tolong berjaya menarik perhatian orang berhampiran untuk membantu menahan suspek dan menyerahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang beralamat di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu diberkas polis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata 1958,” jelasnya.

Difahamkan, suspek mempunyai dua rakan lain serta dipercayai pernah terbabit dalam kes penculikan kanak-kanak di Pulau Pinang dan Seremban. Malah mereka dipercayai mempunyai senjata api untuk mempertahankan diri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");