Membawang Hari Ini

Kisah raya penyampai Ultra FM

ultra fm

SETIAP hari kita dihiburkan dengan celoteh penyampai radio tidak mengira masa.

Adakala kita terfikir, meskipun Syawal tiba, mereka masih bertugas demi menghiburkan pendengar tercinta.

Rasanya, tidak lengkap Syawal tanpa celoteh mereka yang menemani perjalanan ke rumah keluarga dan saudara tercinta.

Bagi penyampai radio Ultra 101.3 FM, meskipun stesen radio ini baru bertapak dalam industri seni, penyampaian tidak dapat lari daripada meraikan hari raya di konti.

Bagi mereka, walaupun terpaksa berkorban demi tugas, namun semua itu adalah dugaan dan cabaran bergelar penyampai radio

Zass berkongsi cerita raya empat penyampai radio Ultra FM iaitu Sharifah Shahiera, Mamat Sepah, Fizi Ali dan Mon Ryanti.

‘Tahun ini semua lambat’- Shira

Siapa yang tidak kenal dengan aktres, duta, pengacara dan penyampai radio popular ini.

Meskipun sibuk dengan kerjayanya namun Syawal tetap diraikan penuh meriah.

Mengakui suka membeli-belah untuk persiapan raya di saat-saat terakhir, Sharifah Shahirah memberitahu, ia sudah menjadi kebiasaan baginya setiap tahun

Katanya, dia tidak sempat untuk membuat persiapan awal kerana terikat dengan komitmen.

“Tahun ni semuanya lambat, bukan sahaja ‘shopping’ lambat, malah kemas rumah pun lambat,” katanya jarang punya masa di rumah sejak membuka kedai makan berbentuk ‘food court’ di Taman Melawati sejak dua bulan lalu.

Ujar ibu kepada empat anak ini, dia memang suka tidak tidur di malam raya.

“Malam terakhir Ramadan adalah waktu paling seronok selesaikan persiapan raya, adakala waktu ini jugalah saya gunakan untuk membeli keperluan raya yang lain,” katanya.

Tidak lari pengalaman beraya di konti, akuinya yang lebih mesra disapa Shira ini berkata, tahun lalu dia terpaksa beraya di konti pada raya pertama.

“Nasib baiklah rumah saya dekat jadi tiadalah kelam kabut sangat. Cuma suamilah yang terpaksa melayan tetamu dan saudara-mara yang datang ke rumah,” katanya rumahnya terus dikunjungi tidak mengira siang dan malam.

Ujarnya, rumahnya yang sentiasa terbuka juga menjadi tumpuan kanak-kanak dan peminat sekitar.

“Bayangkan, ada seorang budak ni, dari dia kecil sehingga sekarang sudah sekolah menengah, dia masih mengunjungi rumah saya,” katanya.

Berkongsi memori rayanya pula, memandangkan dia membesar di kawasan kediaman selebriti popular, kesempatan itu diambil untuk mengunjungi rumah-rumah mereka.

“Dahulu setiap kali raya saya akan pergi ke rumah A.R Badul, Datuk Yusof Haslam, Mazuin Hamzah dan ramai lagi.

“Memang seronok raya masa kecil sebab kita boleh dapat duit raya, bukannya beri duit raya,” katanya yang turut memberitahu bahawa rumahnya menjadi tempat adik-beradik berkumpul setiap tahun.

Mamat sedih teringat gosip

Sambutan Syawal pastinya tidak dapat dilupakan oleh penyampai yang dikenali sebagai Mamat Sepah ini.

Baginya, setiap kali Syawal menjelma, dia pasti teringatkan kisah sedih yang pernah berlaku padanya di pagi raya.

“Perkara itu melibatkan maruah saya, bayangkan pada pagi raya pertama, gosip kurang baik mengenai saya keluar di sebuah surat khabar dan ianya benar-benar menyedihkan,” katanya masih merasa terkilan dengan perkara itu.

Bagaimanapun, tidak semua kisah raya disulami kesedihan sebaliknya masih banyak momen-momen manis yang mahu dikongsi bersama peminat.

Akuinya, dia tidak akan sesekali melupakan tahun pertama bergelar selebriti pada 2009.

“Saya beritahu kawan-kawan di kampung mereka mesti ambil gambar dengan saya tahun itu kerana ia tahun terakhir saya bergelar orang biasa, tak sangka pula impian saya menjadi kenyataan,” kata anak jati Kulai, Johor ini.

Berkongsi kampung dengan penyanyi popular Mawi, akui Mamat dia turut merasakan kemeriahan beraya sebagai selebriti sama seperti bintang realiti Akademi Fantasia itu.

Ujarnya, jika rumah Mawi mula sesak di pagi raya, rumahnya juga tidak kurang meriah.

“Tidak sempat saya pergi sembahyang raya, budak-budak dah beratur depan rumah dan panggil Abang Mamat, Abang Mamat.

“Bukan nak datang makan pun, mereka ni cuma seronok kutip duit raya sahaja,” katanya memilih ketupat, rendang daging, ayam masak merah dan lodeh sebagai hidangan raya.

Bercerita mengenai kenangan beraya di konti pula, akui Mamat, dia pernah beraya di konti ketika menjadi penyampai di sebuah stesen radio terkenal tanah air.

“Sebenarnya memang saya bercuti waktu itu, tetapi pihak syarikat meminta saya kembali bertugas pada raya kedua. Nak tak nak, terpaksa kembali bertugas,” katanya mengendalikan Ultra 6-10 bersama Jimmy Shanley di Ultra FM.

Mengenai persiapan raya tahun ini jelas Mamat, segalanya dibahagikan bersama adik-beradik.

“Saya ada 11 adik-beradik, jadi semua berebut nak sediakan macam-macam untuk emak. Bagaimanapun, saya tetap sediakan peruntukan untuk keluarga,” kata anak ketujuh ini.

Fizi serik beraya di konti?

Lain pula ceritanya dengan penyampai yang lahir dari program realiti Pilih Kasih musim kedua ini.

Memilih kerjaya sebagai penyampai radio memberi pengalaman dan cabaran baharu kepadanya.

Kata Muhd Hafizuddin Alimuddin, 25, sebagai orang bujang dia terpaksa berkorban dan memberi laluan kepada penyampai yang sudah berkahwin.

“Saya dah setahun lebih bersama Ultra FM, jadi tahun lalu adalah pengalaman pertama beraya di konti.

“Bayangkan saya tak pernah tak pulang ke kampung, jadi tahun lalu memang terasa sedih dan hiba,” kata anak jati Kota Tinggi, Johor ini.

Berkongsi mengenai kenangannya itu, jelas penyampai yang lebih dikenali sebagai Fizi Ali ini, pastinya malam raya menjadi detik paling sedih buat dirinya.

“Bila dengar takbir raya, hati jadi tak keruan. Bangun pagi raya pun tak rasa apa-apa. Bila saya pergi sembahyang raya pula, keadaan sekeliling sungguh berbeza kerana hanya ada umat Islam berketurunan Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain yang menunaikan solat.

“Hanya saya seorang sahaja Melayu ketika itu. Paling sedih bila nak beli makanan, saya fikir kedai mamak buka, tetapi semuanya tutup pada raya pertama. Akhirnya saya hanya mampu membeli Mc Donald sahaja,” luahnya.

Tambahnya, perasaan sedih itu sedikit sebanyak terubat apabila pendengar menelefonnya yang sedang bertugas.

“Bila mereka telefon, memang macam-macam cerita yang dikongsi, malah mereka juga tidak lupa mengucapkan selamat hari raya,” katanya tahun ini terpaksa beraya di konti lagi.

Menurut Fizi, biarpun pulang ke kampung pada raya ketiga, tetapi sambutannya tidak sama dengan hari pertama.

“Raya ketiga keluarga dan saudara-mara dah pakai baju biasa, jadi tak seronoklah. Yang ada pun anak buah beratur nak minta duit raya,” katanya tidak lengkap hidangan raya tanpa nasi himpit dan rendang.

Menarik mengenai raya Fizi Ali, setiap tahun pasti menjadi tradisi keluarganya untuk memasak sup dari organ lembu selain barbeku.

“Ini cara kami sekeluarga berkumpul, dari kecil memang tradisi ini tidak pernah ditinggalkan. Tetapi yang masih menjadi pilihan saya adalah rendang landak resipi keluarga,” katanya.


Mon Ryanti buat persiapan kahwin

Tahun ini pastinya menjadi tahun bermakna bagi pelakon filem yang sudah bergelar penyampai radio ini.

Jika kita sibuk menyediakan persiapan hari raya, sebaliknya pula bagi aktres berusia 26 tahun ini.

Bakal mendirikan rumah tangga September nanti, Mon Ryanti mengakui dia terpaksa mengurangkan persiapan Syawal tahun ini kerana memberi keutamaan perkahwinannya.

Menurutnya, tiada yang lebih penting daripada memastikan persiapan kahwinnya sempurna.

“Tahun ni terpaksa berkorban sedikit, tapi tak mengapa sebab semua itu menjanjikan kehidupan baru buat saya.

“Saya harap semuanya lancar dan majlis yang diharap-harapkan menjadi kenyataan,” katanya teruja menanti saat diijabkan dengan tunangnya Mohd Hasrul Ali, 26.

Kerana itu juga, Mon memilih untuk bertugas raya tahun ini.

“Ini pengalaman pertama saya bertugas di konti ketika hari raya, masa mula-mula buat keputusan ini pun saya dah mula rasa sedih.

“Saya tidak pernah berenggang dengan keluarga lagi-lagi pada hari raya. Mengenangkan keluarga pulang ke Johor dan saya di Kuala Lumpur, memang sebak rasanya.

“Tetapi semua ini pasti ada kebaikan dan hikmah,” ujar pelakon Aku Terima Nikahnya ini.

Beritahu Mon, dia dan mamanya antara yang paling sibuk membuat persiapan raya.

“Sebab tahun ni saya nak kahwin lepas raya, persiapan tu kurang sikit, saya sendiri pun cuma beli baju raya dua pasang sahaja berbanding sebelum ini lima pasang,” katanya.

Tidak ketinggalan berkongsi momen Aidilfitri, jelas Mon, setiap tahun dia tidak lupa memberikan duit raya untuk anak buahnya.

“Oleh kerana tahun ini saya tidak pulang ke kampung, mereka dah mula tanya bila nak bagi duit raya,” katanya ketawa.

Akui Mon, sudah menjadi rutin setiap tahun untuk membuat rumah terbuka, tetapi tahun ini berbeza pula.

“Memandangkan saya bakal berkahwin, jadi rumah terbuka tersebut sekali dengan majlis perkahwinan saya nanti,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");