Berita Hari Ini

Ambil tindakan kepada NGO palsu

azmi

SHAH ALAM – Kewujudan kes penipuan yang menggunakan nama pertubuhan tertentu demi kepentingan sendiri merencatkan usaha NGO yang berdaftar bagi mengumpul dana dan sumbangan.

Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, sebagai sebuah badan NGO yang telah diiktiraf untuk menjalankan tugas mengumpul sumbangan dan menyalurkan kepada golongan sasar, pihaknya terpaksa berusaha mengembalikan kembali kepercayaan rakyat Malaysia untuk menghulurkan sumbangan.

“Kewujudan kumpulan yang mendakwa mereka merupakan sebuah badan amal yang mengumpul dana demi kepentingan sendiri merupakan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana secara terang mengambil kesempatan di atas penderitaan orang lain khususnya rakyat Palestin,” katanya.

Katanya, daripada jumlah derma yang dikumpulkan hanya 20 peratus akan dibelanjakan bagi tugasan operasi.

“Walaupun pihak kami telah menetapkan jumlah tertentu untuk tujuan operasi, namun kita berusaha mengurangkan kos berkenaan dan pada tahun lepas kita hanya menggunakan sebanyak lima peratus sahaja dan jumlah ini lebih rendah daripada tahun 2012 iaitu sebanyak tujuh peratus.

“Kalau boleh setiap sen sumbangan yang diterima kita ingin salurkan tetapi kita mempunyai sukarelawan dan kakitangan yang bertugas di Palestin dan ibu pejabat Malaysia juga perlu dibayar untuk tujuan operasi,” katanya.

Katanya lagi, kepercayaan yang diberikan rakyat negara ini kepada pihak Aqsa Syarif dalam menyalurkan sumbangan begitu memberangsangkan.

“Setiap bulan kita berjaya mengumpul hampir RM1 juta untuk didermakan kepada rakyat Palestin yang tertindas dan selama empat tahun beroperasi sebagai badan amal, pihak kami berjaya menyalurkan sebanyak RM30 juta,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata setiap NGO yang bertugas mengumpul dana perlu bersikap telus serta setiap jumlah yang dikumpulkan dan didermakan perlu diterbitkan secara awam agar orang awam tidak rasa tertipu dengan setiap sen yang didermakan.

“Pihak kami menggunakan sebanyak 12 peratus daripada jumlah sumbangan bagi tujuan tugas dan operasi namun jumlah berkenaan hanyalah satu penanda aras. Setiap tahun kami hanya menggunakan tujuh ke lapan peratus sahaja daripada dana yang dikumpulkan.

“Kita juga mempunyai rekod setiap sen yang disumbangkan sebagai contoh apabila wang yang disalurkan kepada pihak di Palestin, mereka akan memberikan butiran terperinci pembelian yang dilakukan. Jadi tidak timbul soal penyelewengan wang,” katanya.

Azmi berkata, akaun simpanan sumbangan dana diaudit secara keseluruhan oleh juruaudit dari pihak Mapim dan juruaudit yang diiktiraf.

Ditanya mengenai pelaburan wang hasil kutipan derma bagi tujuan pulangan yang lebih baik sebelum disalurkan, beliau berkata pihaknya tidak melaksanakan sebarang bentuk pelaburan kerana dana berkenaan perlu diserahkan secepat mungkin.

“Sebagai contoh, setiap hari rakyat Palestin mengalami kecederaan da kelaparan jadi mereka perlu dibantu dengan kadar segera dan tidak ada kepentingan bagi pihak kami untuk menyimpan wang berkenaan terlalu lama,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");