Jenayah

‘Setidak-tidaknya saya tahu mana jasadnya berada’

ibu

SEREMBAN – “Walaupun tanpa jasadnya, tapi saya lega kerana kini kami tahu dia di mana,” kata Latifah Enjah, 58.

Tahun lalu, Aidilfitri ibu lima anak ini suram berikutan suaminya, Saifullah Ravi Abdullah, 45, dilaporkan hilang selepas didapati tidak pulang ke rumah sebaik saja pergi bekerja di sebuah ladang di Ulu Temiang, di sini.

Paling menyedihkan, arwah hilang empat hari sebelum Aidilfitri menyebabkan tiada istilah hari raya kepada mereka sekeluarga, melainkan cuba menjejaki arwah di setiap pelosok tempat.

Namun, berbeza Syawal kali ini, setidak-tidaknya jasad yang hilang kini tahu di mana tempatnya, sekali gus ziarah Latifah dan anak-anak kali ini tertumpu di Tanah Perkuburan Gadong Jaya di Labu.

Walaupun masih sedih mengenangkan suaminya mati dibunuh dan hanya tulang serta rangka ditemui di sebuah ladang getah di Bukit Zamrud, Temiang pada 30 Oktober tahun lalu, namun dia kini pasrah.

“Sampai hati penjenayah itu bunuh suami saya. Apa salahnya kerana dia adalah sebaik-baik manusia yang saya kenal.

“Sehingga kini anak-anak saya masih bersedih hinggakan langsir raya tahun lalu anak saya tidak izinkan tukar sebab arwah suami yang pasang” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Gadong Jaya, dekat sini.

Mengimbas kembali kenangannya bersama arwah, Latifah berkata, sambal tumis ikan bilis dan rendang yang dimasak sendiri olehnya menjadi kegemaran arwah setiap kali hari raya.

Malah, juadah berkenaan akan disediakan bersama-sama dengan arwah menjelangnya malam raya.

“Biasanya dia akan membantu memasak nasi impit dan saya pula akan memasak rendang.

“Arwah memang seorang yang ringan tulang. Malah, untuk persiapan hari raya pun dia akan dahulukan saya dan anak-anak,” katanya.

Sebagai pengubat rindu, beberapa barang milik arwah masih disimpan antaranya sepasang kasut yang dipakai untuk ke tempat kerja.

Katanya, hatinya masih terlalu rindu dengan arwah dan ketika bulan Ramadan lalu anak bongsunya sering kali menangis kerana terlalu rindukan ayahnya itu.

“Saya selalu pesan dengan anak-anak kita kena reda dengan ketentuan Ilahi dan jangan terlalu ikutkan hati.

“Ini ujian paling terbesar dalam hidup saya. Tapi sebagai seorang ibu saya perlu tabah kerana masih ada tanggungjawab lain yang perlu dipikul,” katanya.

-SInar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");