Isu Panas

Siasat pendedahan libatkan pemimpin PKR

Khairul Anuar (tengah) mengadakan sidang media selepas membuat laporan polis, semalam. Khairul Anuar (tengah) mengadakan sidang media selepas membuat laporan polis, semalam:-

KULIM – Badan Bertindak Anti Penyelewengan Kedah menggesa siasatan terperinci dilakukan terhadap pendedahan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung salah laku dan pecah amanah melibatkan pemimpin PKR sebelum ini.

Presidennya, Khairul Anuar Ramli berkata, maklumat yang didedahkan menerusi pendedahan itu amat mengejutkan kerana ia melibatkan penyalahgunaan wang rakyat.

“Jika terbukti segala maklumat itu benar, pihak terbabit perlu diheret ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada kerana ini adalah suatu kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Kulim, malam semalam.

Khairul Anuar berkata, artikel bertajuk “PKR Tak Kenang Budi, Luahan Rasa Bekas Setpol Ustaz Azizan Mantan MB Kedah”, yang dibaca menerusi laman sosial itu mengandungi beberapa pendedahan besar tentang salah guna kuasa melibatkan beberapa Adun PKR lalu ketika Kedah ditadbir PR (2008-2013).

“Antara maklumat yang didedahkan dan perlu disiasat, ialah dakwaan mengenai kebenaran yang diberikan kepada sebuah syarikat kuari pasir yang kebetulan melalui tanah milik agensi itu bagi menampung perbelanjaan Adun PKR,” katanya.

Malah, katanya, kes tuntutan perjalanan seorang Exco PKR yang jauh melebihi gaji dan elaunnya, di mana elaun sekitar RM17,000 tetapi tuntutan perjalanan mencecah RM23,000 juga wajar disiasat.

“Difahamkan, mantan Menteri Besar (Azizan) secara diam-diam meluluskan kawasan balak kepada PKR melalui satu permohonan sebuah syarikat yang mewakilinya, bila ianya diluluskan dengan harga yang sama dengan pihak lain, iaitu RM16,000,” katanya.

Khairul Anuar turut menyarankan agar Muhammad Sanusi memberi butiran secara terperinci tentang salah guna kuasa dan pecah amanah yang didedahkan itu kepada pihak berkuasa.

“Jika Muhammad Sanusi benar-benar telus dan mahu membersihkan nama Pas Kedah, dia harus tampil memberikan butiran terperinci tentang perkara itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mencabar Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution untuk menjawab semua tuduhan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi, dan jangan hanya bijak mengelak demi kepentingan diri sendiri.

“Kita semua maklum tentang masalah dalaman PR serta percakaran sesama sendiri berpunca daripada isu pertukaran MB Selangor. Ia dikeruhkan lagi dengan pertelingkahan antara Muhammad Sanusi dan Saifuddin Nasution. Masing-masing cuba membuka pekung di dada. Kita lihat pendedahan itu cukup serius kerana melibatkan kepentingan rakyat,” katanya.

Khairul Anuar berkata, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahad ini, agar siasatan dibuat ekoran daripada pendedahan itu.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");