Membawang Hari Ini

Lagu raya malar segar

ziela jalil

Era 1970-an menjadi detik kegemila­ngan penyanyi dan pelakon veteran Junainah M Amin. Selain popular sebagai penyanyi dengan syarikat rakaman EMI seangkatan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid dan Hail Amir, Junainah juga pernah membintangi filem Keluarga Si Comat dan Hapuslah Air Matamu.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan lagu popular yang dirakamkan Junainah, salah satunya ialah Suasana Riang Di Hari Raya, ciptaan Allahyarham komposer veteran Kassim Masdor yang juga lagu raya ‘evergreen’ sepanjang zaman. Lagu popularnya yang lain ialah Nenek-Nenek, Ku Sayang Padamu dan Kau Yang Disayang.

Selaku penyanyi asal, Junainah mengakui lagu Suasana Riang Di Hari Raya dendangannya menjadi siulan sampai sekarang kerana ia ‘catchy’ dan liriknya mudah difahami semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak hinggalah orang dewasa.

“Lagu itu dirakamkan pada 1974. Sebenarnya, setiap seorang penyanyi era 70-an mesti memiliki satu lagu raya dan saya juga bertuah kerana mempunyai lagu raya sendiri walaupun hanya satu lagu saja.

“Sebenarnya, proses rakaman lagu pada era 70-an dulu lebih susah berbanding zaman sekarang yang ba­nyak dibantu dengan kecanggihan teknologi.

“Kalau dulu apabila salah sikit lirik ketika menya­nyi kita kena ulang semula rakaman lagu itu dari awal, tetapi sekarang kita hanya ulang baris lagu yang salah saja,” katanya.

Junainah ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama Penerbit Pena Creatives, Ziela Jalil di Restoran Rebung, Bangsar, baru-baru ini. Hadir sama, seorang lagi artis popular era 70-an iaitu Milah Hussin yang bermula daripada penyanyi di kelab eksklusif.

Ia bukan sekadar pertemuan semula rakan lama, sebaliknya ia turut mengimbas zaman kegemilangan mereka dulu.

Ditanya perbezaan artis dulu dan sekarang, kata Junainah, artis dulu menyanyi daripada hati dan bukan sekadar menghafal lirik saja.

“Penyanyi dulu juga ikhlas dalam profesion mereka sebagai penyanyi dan tidak mengejar populariti semata-mata. Justeru, tidak hairanlah penyanyi dulu mampu bertahan sampai sekarang,” katanya.

Sedia berganding dengan artis baru

Walaupun dia antara nama besar pada era 70-an, Junainah bersedia untuk berganding dengan artis baru, sekali gus merancakkan lagi persada muzik tanah air.

“Jika ada peluang, saya bersedia untuk berganding dengan artis baru termasuk menyampaikan lagu raya bersama mereka.

Saya juga teringin untuk merakamkan lagu atau single baru ciptaan komposer sekarang, sekali gus meng­ubat kerinduan peminat di luar sana,” katanya.

Junainah juga tidak ada masalah jika ada penyanyi generasi baru berhasrat untuk menyanyikan semula lagu rayanya itu.

“Kalau boleh, biarlah penyanyi baru berduet dengan penyanyi asal lagu berkenaan. Penyanyi baru juga boleh memberi nafas baru pada lagu raya saya tetapi janganlah merosakkan keaslian lagu berkenaan.

“Jika mereka ingin menyanyikan semula lagu raya saya, biarlah artis baru itu menyanyi lebih baik lagi daripada saya selaku pe­nyanyi asalnya,” katanya.

Dalam pada itu, Junainah juga masih memenuhi undangan persembahan anjuran pelbagai pihak.

“Bagi saya, tiada istilah bersara daripada bidang nyanyian, sebaliknya biarlah ia berlaku dengan sendiri apabila sampai masanya,” katanya.

Sepanjang pembabitan dalam bidang nyanyian, Junainah sudah merakamkan lebih 100 lagu dalam filem pada era 70-an dulu.

Antara album EP dihasilkannya ialah Junainah/Air Mata Semalam (1973), Ikut Ku Menyanyi/Ratu Duniamu (1974), Senyumlah/Ku Sayang Pada Mu dan Lagu Mu Untok Ku (1975).

Selain itu ialah album studio iaitu kembali Kepada Ku (1977) manakala album runut bunyi yang sempat dihasilkannya ialah Hapuslah Air Matamu (1976), Pendekar (1977) dan Kisah Seorang Biduan (1979). Tidak ketinggalan, album raya Selamat Hari Raya Aidilfitri (1973), Rasa Sayang Eh (1974) dan Pahlawan Tinju (Mohammad Ali) (1975).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");