Jenayah

Penyamun rentap beg berisi wang

samun parang

IPOH – Seorang pembantu pengurus sebuah restoran makanan segera berdepan detik mencemaskan apabila nyaris disamun tiga lelaki bersenjatakan parang ketika membawa wang hasil jualan harian berjumlah RM16,000 di Silibin, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, P Chandra Segaran, 30, yang ditemani seorang kakitangannya sedang menghidupkan enjin motosikal untuk ke bank berhampiran dilanggar sebuah kereta jenis Honda Civic di hadapan restoran terbabit.

Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak seorang lelaki yang memegang parang meluru ke arahnya sambil merentap beg berisi wang dipegangnya.

“Saya cemas apabila seorang daripada lelaki yang mukanya ditutup dengan kain hitam cuba merentap beg dipegang saya. Tanpa fikir panjang, saya terus melawan dan melarikan diri dengan masuk semula ke dalam restoran,” katanya di sini, semalam.

Chandra Segaran berkata, tindakannya masuk semula ke dalam restoran berjaya menggagalkan usaha penyamun terbabit merampas wang milik majikan yang dibawanya itu.

“Boleh dikatakan ada lebih 20 orang termasuk pekerja menyaksikan kejadian itu, menyebabkan kesemua penyamun itu lari dengan kereta.

“Tindakan penyamun terbabit agak agresif kerana melakukan jenayah pada waktu siang ketika restoran dipenuhi pelanggan,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, ia merupakan kejadian keempat membabitkan pekerja di restoran itu dan dia tidak menolak kemungkinan gerak geri pekerja diperhatikan oleh suspek.

“Kali terakhir berlaku dua tahun lalu di mana rakan sekerja saya menerima lapan jahitan akibat ditetak dan kejadian sama berlaku pada saya dengan hampir ditetak pula oleh mereka (suspek),” katanya.

Chandra Segaran berkata, walaupun terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu,dia berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan kawalan supaya keselamatan orang awam lebih terjamin,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dengan mengesan suspek-suspek berkenaan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");