Jenayah

Lima peniaga kantoi

rokok seludup

Kuala Lumpur: Lima peniaga ditahan dalam Op Oulet yang dijalankan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serentak di Butterworth, Pulau Pinang, Kulai, Johor dan Kuala Kangsar, Perak, petang semalam.

Dalam operasi itu, pelbagai jenis rokok seludup pelbagai jenama antaranya John, Gudang Garam dan Djarum dirampas.

Operasi itu membabitkan sebuah kedai jamu, kedai runcit, kedai jahit dan kedai alat komunikasi di Jalan Besar, Kulai, dua premis di Bagan Dalam, Butterworth dan sebuah kedai di Kuala Kangsar, Perak.

Sejak 2 Januari hingga 12 Ogos lalu, JKDM sudah menyerbu 4,317 premis dan daripada jumlah itu, 1,444 premis didapati menyimpan rokok seludup serta 952 peniaga ditahan.

Jumlah rokok seludup yang dirampas sehingga kini mencecah 190 juta batang manakala seramai 455 individu sudah dijatuhi hukuman sama ada didenda atau dipenjara sebaik dihadapkan ke mahkamah.

Hukuman paling tinggi pernah dikenakan setakat ini adalah pada denda RM1.3 juta dan penjara 12 bulan ke atas seorang lelaki selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan menyimpan rokok seludup di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, JKDM mengambil langkah serius dan agresif dalam menangani kegiatan penyeludupan rokok walaupun berdepan pelbagai ancaman.

“Tujuan utama JKDM melaksanakan Op Outlet adalah untuk menangani permintaan rokok seludup, mengurangkan penyeludupan serta pemerolehan rokok seludup.

“Op Outlet dan Op Pacak juga bertujuan memberi peringatan kepada peruncit rokok seludup bahawa tindakan lebih tegas dikenakan termasuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, JKDM mengambil pendekatan memohon tindakan reman daripada mahkamah bagi siasatan ke atas mana-mana individu disyaki terbabit menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup.

“Individu disyaki akan didakwa di mahkamah dan JKDM berusaha memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara kepada mereka yang didapati bersalah.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada peruncit yang masih menjual rokok seludup supaya menghentikan perbuatan itu kerana kita maklum rokok seludup mempunyai risiko dua kali ganda lebih berbahaya kerana mempunyai kimia beracun seperti arsenik dan kadmium selain kandungan tar serta nikotin lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurutnya, peruncit mesti sedar penjualan rokok seludup bukan saja menyalahi undang-undang malah memberi kesan terhadap keselamatan kerana perdagangan rokok seludup mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah lebih serius.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");