Perak Hari Ini

Tragedi MH17: Empat Jenazah Mangsa Diterbangkan Ke LTSAS Ipoh

Kerajaan Perak akan menyambut ketibaan empat jenazah mangsa tragedi MH17 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh secara ringkas sebagai tanda penghormatan di peringkat negeri, demikian menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, beliau bersama barisan exco negeri dan ahli keluarga mangsa katanya, akan menyambut ketibaan jenazah yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pesawat khas, Jumaat ini.

“Sebaik upacara penghormatan peringkat negeri selesai, keempat-keempat jenazah itu akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan jalan darat sebelum disemadikan dengan sempurna.

“Pagi tadi, kerajaan negeri dimaklumkan empat jenazah mangsa tragedi MH17 akan diterbangkan ke LTSAS di Ipoh, Jumaat ini selepas tiba dari Amsterdam, Belanda,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau juga dimaklumkan ada antara jenazah itu mangsa yang bukan beragama Islam.

Sebelum ini, difahamkan terdapat tiga jenazah rakyat negeri Perak termasuk dalam 22 jenazah mangsa MH17 yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dari Amsterdam, Belanda pada pukul 10 pagi, Jumaat ini.

Tarikh itu juga diumum sebagai hari berkabung negara dan satu istiadat penghormatan untuk jenazah mangsa tragedi itu akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada hari berkenaan.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");