Perak Hari Ini

Kegiatan Curi Kabel Telekomunikasi Jejas Kadar Penembusan Jalur Lebar Di Perak

Tahun lalu, Perak mencatat kerugian bernilai RM7.2 juta akibat kegiatan mencuri kabel telekomunikasi, sekaligus menjejaskan kadar penembusan jalur lebar di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memberitahu pihaknya memandang serius kegiatan itu yang menyebabkan kadar penembusan jalur lebar di Perak semakin menurun berbanding negeri lain yang mencapai tahap melebihi 60 peratus.

Tegasnya, pada tahun 2013, sejumlah 15,137 kes kecurian kabel telekomunikasi dan vandalisme dilaporkan di seluruh negara yang membabitkan kerugian bernilai RM78 juta.

Daripada keseluruhan kes itu, Perak katanya, mencatat 2,014 kes, iaitu negeri kedua paling tinggi dengan nilai kerugian mencecah RM7.2 juta, selepas Selangor.

“Untuk tahun ini pula, setakat ini, kegiatan tersebut menyebabkan negeri kerugian RM5 juta dan saya dimaklumkan kes tertinggi dilaporkan berlaku di Daerah Taiping dan Manjung,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini.

Kes sama juga turut dilaporkan berlaku di Ipoh, Teluk Intan, Kuala Kangsar dan Kerian, kata Zambry lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri tambahnya, akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk membanteras kegiatan itu di masa akan datang.

“Perbuatan mencuri kabel telekomunikasi ini sungguh tidak bertanggungjawab kerana si pelakunya langsung tidak memikirkan kesannya kepada negeri dan rakyat.

“Selain bekerjasama dengan pihak polis, kerajaan negeri juga berharap agar penduduk baik di kawasan bandar atau luar bandar tampil membantu kita membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan untuk mendapat hukuman yang setimpal,” ulasnya lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, kerajaan negeri akan memperkasa peranan JKKK untuk membanteras penyalahgunaan dadah di negeri Perak.

Ulasnya, satu jawatankuasa khas akan dipengerusikan oleh Exco Negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan bagi membincangkan langkah pencegahan serta program yang mengalakkan golongan muda agar hidup dan sejahtera.

“Salah satu usaha yang kita lakukan ialah dengan memberi tugas tambahan kepada JKKK di kampung Melayu tradisional dan kampung baru di seluruh Perak untuk membantu kerajaan negeri menangani isu penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");