Isu Panas

Pas terperangkap dengan musuh dalam selimut

Oleh Ahmad Faris Abdul Halim:-

DEMIKIANLAH pada Ahad lepas seperti yang telah saya coretkan awal bulan ini – Pas berputih mata lagi. Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang akhirnya tunduk menerima Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan Pas bak, ‘cakap berdegar-degar, ekor bergelumang tahi’.

Tiada lagi ketegasan Pas seperti terpapar pada 1969 apabila parti itu sanggup memecat Ahli Parlimennya, Hashim Gera kerana berjoget di Parlimen.

Waktu ulama Pas yang amat rigid dalam soal agama dan pendirian kini tinggal sejarah. Walaupun Majlis Syura tetap mempertahankan kedudukan Abdul Khalid dalam satu kenyataan yang ditandatangani Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Dr. Haron Din atas alasan selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan menteri besar itu digugurkan, majlis itu sekarang tidak lagi setegas era ‘Hashim joget’.

Kedudukan Majlis Syura sebagai badan yang tertinggi dalam parti berlabel Islam itu kini tinggal sejarah. Tidak terdaya ketuanya berdepan dengan barisan jawatankuasa Pas pusat.

Meski awalnya memang penyokong dan pengikut Pas kagum sungguh apabila presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas menyokong Abdul Khalid, mereka kini kena terima apa sahaja keputusan Pas Pusat.

Kegelisahan Pas untuk mengeluarkan pendirian mengenai kedudukan Abdul Khalid memang telah dijangkakan. Masakan mesyuarat AJK Pas yang sepatutnya dijadualkan pada 10 Ogos, ditangguhkan sebanyak dua kali dari 13 Ogos berpindah pula ke 17 Ogos.

Ungkapan ‘Pas yang dulu, bukannya Pas yang sekarang’ memang kena dan sesuai dilagukan mengikut rentak lagu dendangan Tegar dari Seberang.

Memang main wayang sekali lagilah Pas Pusat yang pendiriannya dalam isu Abdul Khalid bertentangan dengan luahan membuak-buak Abdul Hadi dan Majlis Syura Ulama.

Pas menarik brek hanya untuk mengulangi sejarah parti yang terus tunduk mengikut rentak masa dan tempat yang sesuai.

Adakah gelagat Pas Ahad lepas bak ‘bodoh sombong’ selepas penghinaan yang diterimanya daripada orang kanan parti sekutu sebaik sahaja WhatsApp Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki bocor bulan lalu?

Takkanlah Pas tidak sengaja terlupa dengan terjahan-terjahan diterimanya daripada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah, Lim Guan Eng dan Timbalan Setiausaha Agung Organisasi DAP, Anthony Loke?

Tanpa ambil kira segala pengorbanan Pas dalam menjayakan perjuangan pakatan pembangkang termasuk turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, PKR dan DAP terus mengecam Pas semahu-mahunya. Juga tergamak mereka menuduh Pas parti perkauman hanya kerana Dr. Mohd. Zuhdi bercakap soal kedudukan kuasa orang Melayu dan Islam dalam WhatsApp tersebut.

Pas dilihat hanya alat dan ‘pak turut’ oleh PKR, DAP dan Bersih. Mereka tidak mahu Pas bercakap, merancang atau membuat matlamat apa-apa khususnya berkaitan orang Melayu dan umat Islam. Ibarat ‘suruh duduk, duduk… suruh berdiri, berdiri.’

Di mana maruah Pas sebagai sebuah parti paling kanan dalam pakatan pembangkang dan mempunyai sejarah cukup hebat dalam politik negara serta dipimpin oleh golongan ulama? Lupakah Pas bahawa susulan isu WhatsApp Mohd. Zuhdi, apa yang terpacul daripada mulut Setiausaha DAP Pusat, Tony Pua?

DAP, kata Pua, tidak kisah atau ambil peduli dengan kehendak pemimpin dan ahli Pas sama ada untuk terus berada atau keluar dari pakatan.

Mengambil kira penangan yang diterima Pas dalam isu Menteri Besar Selangor ini, amat jelas Pas senang membisu dalam pakatan. Bagaimana Pas boleh diharapkan oleh orang Islam dan Melayu untuk bersandar, apa lagi membela atau memperjuangkan Islam dan Melayu.

Pada penghujung sandiwara isu pemilihan Menteri Besar Selangor ini terbuktilah Abdul Hadi tiada kuasa dalam Pas Pusat. Beliau terpaksa patuh dengan perintah Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Tampak hinanya kedudukan Majlis Syura Ulama Pas di mata PKR dan DAP. Dipertahankan Abdul Khalid di peringkat awal, tetapi kemudian disabotaj AJK Pusat parti sendiri.

Sebenarnya kita tidak terkejut dengan sokongan terbuka oleh dua ADUN Pas kepada Wan Azizah, kerana kita tahu Shaari Sungip yang juga bekas pemimpin IRC/JIM ialah penyokong tegar Anwar sewaktu di dalam UMNO dahulu.

Betul telahan sesetengah penganalisis, bahawa Pas telah terperangkap dengan musuh dalam selimut yang memporakperandakan parti itu.

Bukan bermaksud menjadi batu api tetapi kasihan kepada rakyat dan penyokong yang tertipu dengan pemimpin mereka yang amat bijak bersandiwara atas nama parti Islam.

Si Luncai ini seolah-olah tidak sedar dia meloncat ke laut. Kali ini, Si Luncai sehelai sepinggang tanpa labunya. Kita biarkan, dengan ucapan, selamat jalan Pas!

* DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");