Membawang Hari Ini

Anne tidak idam jadi wakil rakyat

KATA Anne, tujuan dia aktif dalam arena politik kerana mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara:-

SETELAH melahirkan cahaya mata keempat pada September tahun lalu, kelibat pelakon Nasriah Ngasri atau lebih dikenali sebagai Anne sudah jarang kelihatan di kaca televisyen.

Tambahan pula, dia kini dilihat sibuk dengan aktiviti politiknya setelah dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang dalam pemilihan yang diadakan pada tahun lalu.

Ketika bertemu dengannya semasa majlis Hari Raya Charity Event: Fiesta Raya 2014 yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya baru-baru ini, Anne memberitahu, dia tidaklah meninggalkan bidang lakonan yang diceburinya sejak kecil.

Bakal muncul dalam filem Pengapit yang akan ditayangkan pada bulan hadapan, pelakon itu memberitahu, dia lebih menumpukan kerja-kerja di belakang tabir serta tugasnya sebagai Ketua Puteri UMNO.

Kosmo!: Adakah sekarang ini Anne sudah tidak lagi berlakon?

ANNE: Sehingga kini saya tidak pernah berhasrat mahu berhenti berlakon, cuma tawaran yang diterima agak kurang. Mungkin ramai penerbit atau pengarah yang menyangka saya sangat sibuk dengan aktiviti politik dan rumah tangga. Selain itu, saya terpaksa memilih setiap tawaran yang diberikan, misalnya akan tolak kalau penggambaran di luar Kuala Lumpur. Lagipun saya perlu memberi tumpuan membesarkan keempat-empat anak saya.

Anda dilihat banyak berkongsi gambar aktiviti politik di laman Instagram. Apakah matlamat utama anda apabila menceburi bidang politik?

Tujuan saya bergiat secara aktif dalam politik semata-mata mahu melakukan kebajikan terutama sekali membantu golongan Melayu. Malah, saya tidak terfikir untuk bertanding dalam pilihan raya apabila menceburi politik.

Bagaimanakah kalau diri anda dicalonkan bertanding dalam pilihan raya nanti?

Secara jujurnya saya tidak pernah idam untuk menjadi seorang wakil rakyat kerana pembabitan saya bersama UMNO semata- mata mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Perjuangan saya ini ikhlas dan segala yang dilakukan semuanya secara sukarela. Namun begitu, kalau ditakdirkan saya tercalon bertanding dalam pilihan raya, saya tidak akan menolaknya kerana ia boleh menjadi platform membantu rakyat. Cuma, saya memang tidak mengidam untuk menjadi seorang wakil rakyat.

Suami anda iaitu Mohd. Sumali Reduan sudah lama berada dalam arena politik. Jadi, apakah nasihat yang diberikan oleh suami apabila anda menceburi bidang ini?

Saya bersyukur kerana suami memberi kebenaran dan menyokong sepenuhnya apabila saya bergiat aktif bersama UMNO. Bagaimanapun, dia sekadar berpesan supaya saya pandai menjaga diri dan mengutamakan keluarga.

Apakah cabaran paling getir yang terpaksa dihadapi sepanjang aktif berpolitik?

Bagi saya, cabaran utama apabila wanita seperti saya ini adalah faktor masa. Sebagai seorang ibu yang mempunyai empat anak, saya perlu bijak membahagikan masa memberi tumpuan kepada keluarga dan berkhidmat kepada masyarakat.

Boleh ceritakan tentang perkembangan karier lakonan anda sekarang?

Pada bulan hadapan, filem terbaharu lakonan saya iaitu Pengapit akan ditayangkan di pawagam. Selain itu, ada dua buah drama bersiri untuk terbitan RTM yang masih belum ditayangkan iaitu Kantin Cinta dan Nota Untuk Sang Awan.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");