Sukan Hari Ini

Chong Wei tetap sasar gelaran di Copenhagen

LEE CHONG WEI

SEPANG: Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tetap meletakkan sasaran untuk muncul juara perseorangan di Kejohanan Dunia dari 25 sehingga 31 Ogos ini di Copenhagen, Denmark.

Perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata beliau akan diiringi beberapa pakar perubatan bagi memastikan kecederaan yang dialami pada Kejohanan Siri Super Terbuka Indonesia awal tahun ini tidak menjejaskan persembahannya pada Kejohanan Dunia.

“Walaupun saya belum pulih sepenuhnya, saya perlu menyertainya kerana ia adalah penting untuk saya. Sasaran saya tidak pernah berubah iaitu muncul juara,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini sebelum berlepas ke Copenhagen bersama skuad badminton negara, malam tadi.

Chong Wei mengakui walaupun musuh utamanya, Lin Dan dari China gagal melayakkan diri ke Kejohanan Dunia ekoran kedudukan ranking yang rendah, namun beliau menyifatkan laluan dalam memburu gelaran dunia sulung tetap berliku.

“Keadaan saya pada ketika ini bukanlah berada pada tahap terbaik. Saya akan cuba yang terbaik dan tidak berputus asa. Saya tidak mempunyai masalah dengan kecergasan tapi lebih bimbangkan prestasi semasa saya kerana hampir dua bulan tidak beraksi (dalam mana-mana kejohanan kompetitif),” katanya.

Chong Wei bakal memulakan aksi pusingan awal berdepan pemain muda Korea Selatan, Lee Dong Keun.

Dalam pada itu, Chong Wei Feng sasar sekurang-kurangnya untuk mara ke pusingan ketiga pada edisi ke-21 kejohanan.

Mengakui undian pada kali agak sukar, perseorangan kedua negara itu mahu memberikan fokus dalam setiap perlawanan sebelum memikirkan lawan seterusnya.

“Saya akan berikan persembahan terbaik bagi sekurang-kurangnya berdepan Chen Long pada pusingan ketiga. Bagaimanapun saya perlu memberikan perhatian kepada lawan pada pusingan awal kerana ia bukanlah perlawanan yang agak mudah,” kata pemain kidal itu.

Wei Feng turut menyifatkan pemergian ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek bersama skuad negara ke Copenhagen memberi lebih semangat kepadanya untuk mempamerkan persembahan terbaik pada Kejohanan Dunia nanti.

“Saya sudah berlatih bersamanya hampir 10 tahun dan dia lebih mengenali corak permainan saya berbanding jurulatih lain,” kata Wei Feng yang bakal berdepan Rajiv Ouseph dari England pada pusingan pertama.

Selain Chong Wei dan Wei Feng, Malaysia turut menyandarkan harapan kepada 10 wakil negara yang lain.

Mereka ialah Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah dalam acara beregu lelaki; Tee Jing Yi dan Sannatasah Saniru (perseorangan wanita), Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, Ng Hui Lin-Ng Hui Ern, Lee Meng Yean-Lim Yin Loo dan Amelia Alicia Anscelly-Fie Cho Soong (beregu wanita) serta Tan Aik Quan-Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang gelaran pada Kejohanan Dunia yang mula diperkenalkan pada 1977 di Malmo, Sweden. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");