Perak Hari Ini

Kelab Penyokong Bola Sepak Perak Jayakan Deklarasi ‘Say No To Flare’

Oleh Siti Norain Usop/Foto:Ahmad Amirul Hakim Ahmad Zulkifli:-

bos gaurus

Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (PAFA Fan Club) dengan kerjasama beberapa kelab penyokong bola sepak Perak yang lain akan menjayakan kempen ‘Say No To Flare’, sekaligus menolak budaya membakar suar atau bahan api ketika perlawanan berlangsung di stadium.

Menurut pengurus pasukan The Bos Gaurus, Datuk Azhar Ahmad, usaha tersebut dilakukan sebagai langkah untuk mengurangkan gejala negatif yang dilakukan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Kita akan mengambil tindakan proaktif dengan menzahirkan deklarasi menolak perbuatan membakar suar melalui kerjasama kelab-kelab penyokong,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan atau langkah pencegahan awal itu tidak akan berjaya sekiranya peminat bola sepak tempatan tidak mahu bekerjasama dengan PAFA.

“Kita akan ambil tindakan pencegahan tetapi bagi penyokong yang degil, mereka akan buat juga dengan pelbagai cara.

“Agak sukar untuk menghapuskan terus tindakan tersebut kerana kita perlukan anggota penguatkuasa yang mencukupi dalam stadium,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan deklarasi ‘Say No To Flare’ yang dibuat oleh semua pengerusi bagi kelab penyokong bola sepak Perak di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Ipoh, petang tadi.

Beliau menyatakan adalah tidak adil kepada peminat setia yang hadir untuk menyaksikan sesuatu perlawanan tidak dibenarkan memasuki stadium hanya disebabkan oleh tindakan biadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Ini kerana tindakan tersebut ibarat menganiaya kira-kira 20,000 peminat setia yang datang untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

“Namun disebabkan oleh tindakan 10 atau segelintir peminat yang tidak bertanggungjawab itu, semua penyokong tidak dapat masuk dan menyaksikan perlawanan,” ujar Azhar lagi.

PAFA Fan Club

Sementara itu, menurut Presiden PAFA Fan Club, Shamsul Baharin Putra Ahmad Sebi, beliau berasa kesal dengan tindakan segelintir peminat yang menunjukkan rasa tidak puas hati dengan cara yang salah.

Katanya, beliau dan beberapa lagi pengerusi kelab penyokong akan menyampaikan peringatan yang jelas kepada para penyokong berkenaan isu terbabit.

“PAFA Fan Club bersama Seladang FC ingin menyampaikan mesej bahawa kita tidak mahu lagi kes pembakaran mercun atau suar dalam stadium kembali berulang,” ujarnya

Beliau berkata, pada perlawanan menentang pasukan Sarawak malam ini, pemain Perak akan membawa banner yang tertulis perkataan ‘katakan tidak kepada suar’ sebelum permainan bermula.

“Saya harap mesej ini akan diterima para penyokong dan marilah kita menjadikan stadium sebagai tempat yang selamat untuk kita bawa keluarga ke sana,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");