Membawang Hari Ini

‘Belengas’ cubaan berani Revolution Stage

teater

SELEPAS muncul dengan persembahan menarik menerusi teater Sudirmania, sekali lagi Revolution Stage tampil dengan karya baharu, Belengas baru-baru ini.

Pementasan teater ini baru sahaja menutup tirai persembahan mereka pada Ahad lalu dipentaskan di Black Box, Publika Duta Solaris Damansara sejak 13 Ogos, nyata memberikan pengalaman baru buat peminat teater.

Di bawah bimbingan Khairunazwan Rodzy, pementasan selama hampir dua jam ini dibarisi pelakon indipendent seperti Taufiq Izmir (Rostam); Siti Hafizah (Fatimah);  Dya Sham (Seri); Liana  Hassan (Aishah), DZ Zainal (Hasnah) Muhd Aizat (Ibrahim) Alia Arif (Anisa) dan Rose Nisa (Ramlah).

‘Belengas’ menceritakan kisah masyarakat dari beberapa generasi umur yang telah memulakan kehidupan mereka sebagai manusia biasa daripada dalam rumah dan mempunyai keluarga lengkap.

Tirai pementasan dibuka dendangan lagu Demi Kita yang begitu menusuk jiwa yang didendangkan anak didik Kharunazwan, Surnia Fizul.

Biarpun hanya berbekalkan dengan petikan gitar, penonton terpukau dengan alunan lagu tersebut yang berjaya membangkitkan mood suram di permulaan cerita.

Bermula dengan kisah kematian suami, seorang wanita cekal Hasnah Saad membesarkan kedua zuriatnya, Fatimah dan Rustam dalam kepayahan sehingga bergelar usahawan berjaya.

Namun begitu, Hasnah sangat memanjakan Fatimah berbanding Rustam sehingga anak bongsunya itu terasa dipinggirkan keluarga sendiri.

Kehadiran cucunya, Aishah seolah memberikan cahaya kepada keluarga ini yang dilanda keretakan apabila hubungan antara Fatimah dengan suaminya, Ibrahim yang semakin hambar.

Sebaliknya, Aishah hidup tertekan apabila nenek dan ibunya terlalu menekan dan hanya mampu meluahkan masalahnya kepada sahabat baiknya, Seri.

Tidak lagi tahan dengan masalah keluarganya, Aishah tiba-tiba menghilangkan diri.

Dalam kekalutan itu, tiga pucuk surat mengenai rahsia keluarganya dihantar kepada ibu, nenek dan ayah Aishah untuk menuntut wang tebusan.

Bagi penulis, plot-plot yang ditampilkan dari awal hingga akhir membuatkan penonton terpaku kerana ingin mengetahui apakah kesudahan penderitaan Aishah.

Konflik hidup gadis itu sebenarnya mencerminkan masalah-masalah yang dialami segelintir masyarakat tanpa sedar ia menyampaikan mesej berguna untuk penonton.

Tanpa berbekalkan peralatan canggih atau props ‘bombastik’, nyata karya Belengas ini wajar diangkat ke pentas lebih besar.

Permainan emosi pelakon yang berubah-ubah dari semasa ke semasa, sukar untuk percaya bahawa mereka sangat berbakat dan harus dikomersialkan ke arus perdana.

Angkat kisah mentaliti masyarakat

Bagi pengarah projek ini, Khairunazwan berkata idea menghasilkan teater sebegini kerana ia jarang dipentaskan kepada umum.

Usaha yang dilakukan Revolution Stage bersama peserta bengkel Intermediate Workshop di bawah kelolaannya sejak Mei lalu, menghidupkan semula teater sebegini.

Selain peserta bengkel ini, pelakon Taufiq Izmir yang pernah terlibat dengan pementasan berskala besar, Di Bawah Lindungan Kaabah, baru-baru ini.

Katanya, cetusan idea menggabungkan idea-idea pelakon menjadi satu jalan cerita mengenai kisah masyarakat selepas SudirMania berjaya menambat hati peminat teater.

“Belengas merupakan hasil perbincangan kami semua selepas setiap individu menyumbangkan kisah mereka dalam teater ini.

“Dari situ, kami mengolah idea-idea ini untuk dijadikan satu cerita yang punya kesinambungan antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Khairunazwan, cerita itu merujuk kepada sikap manusia yang bermula apabila mereka diberi akal untuk berfikir sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Di saat itu, mereka membesar hingga terwujud pelbagai mentaliti yang mencetuskan tuntutan yang melampau.

“Semakin lama melawan mentaliti sendiri, semakin menjadi belengas hidup manusia. Akhirnya ada rancangan bangsat bagi mengalahkan mentaliti yg mana dari pemikiran mereka sendiri.

“Disebabkan sikap dan pemikiran tersebut, manusia itu sendiri berperang dengan mentaliti tersebut yang dicipta mereka sendiri,” katanya.

Sambungnya, biarpun prestasi pelakon dilihat agak kurang mantap pada malam kedua persembahan, namun dia yakin mereka mampu melakukan lebih baik.

“Ia sudah menjadi satu kebiasaan apabila malam kedua persembahan, pelakon akan mengalami sindrom lemau.

“Penyatuan dari segi persembahan agak lompong tetapi saya percaya persembahan mereka kembali seperti biasa pada hari ketiga hingga akhir,” katanya yang akan mengadakan sesi ‘brainstorm’ setiap kali pementasan berakhir.

Garap pengalaman sendiri – Liana

Diberi tanggungjawab mengalas tugas yang lebih besar berbanding rakan-rakannya yang lain, Liana Hassan, 27, terpaksa bermain dengan emosi dengan membawa watak Aishah dalam satu masa.

Watak ini merupakan ‘bahan’ utama dalam persembahan kerana menyatukan watak-watak lain dalam persembahan itu.

Malah dia lihat sering bertukar emosi sebagai remaja berusia 15 tahun yang periang. Dalam masa yang sama, dia perlu menjadi anak yang patuh dengan arahan ibu bapanya atau ‘tukang cerita’ dalam babak-babak tertentu.

Menurutnya, cabaran utama dalam persembahan ini adalah tiada skrip khusus sebagai garis panduan setiap kali berlakon.

“Penonton akan melihat persembahan yang berbeza setiap hari kerana lakonan kami berdasarkan gerak hati dan jalan cerita sahaja.

“Sebab itu ia dinamakan ‘devised theatre’ atau ‘devise play’ yang mana kami hanya bersandarkan topik yang telah dibincangkan sebelum ini,” katanya.

Bercerita mengenai kisah wataknya, Liana berkata idea tersebut sebenarnya daripada pengalaman hidupnya sendiri sebagai pelajar.

“Berdasarkan pengalaman lepas, saya merupakan pelajar cemerlang namun tidak diberi pilihan untuk memilih kerjaya yang saya sukai.

“Apatah lagi ibu seorang profesor dan sangat tegas dalam mendidik saya sehingga terpaksa mengikut semua arahannya.

“Sifat memberontak mulai timbul apabila dipaksa untuk memilih jurusan sains, walhal minat saya lebih terarah kepada seni,” katanya.

Biarpun perkara itu sudah lama berlalu, Liana tidak menganggap tindakan ibunya sebagai mengongkong hidupnya.

“Saya bersyukur dengan segalanya yang berlaku kerana ia menjadi sumber kekuatan saya untuk teruskan hidup.

“Bagi saya, walaupun mengambil jurusan Fashion Designer sebelum ini, ia tidak menghalang minat untuk saya bergerak aktif dalam teater,” jelasnya yang pernah terlibat dengan pementasan SudirMania dan Asmarama.

Taufiq semakin dikenali

Sementara itu, bagi Taufiq Izmir, 24, yang mulai dikenali menerusi lakonannya dalam teater berskala besar, Di Bawah Lindungan Kaabah sebagai Hamid remaja, awal tahun lalu.

Jika sebelum ini dia memegang  peranan sebagai anak muda soleh, kali ini Taufiq tampil berbeza dengan watak Rustam.

“Menerusi watak ini, saya merupakan bapa saudara kepada Aishah yang sangat menyayanginya namun melakukan sesuatu di luar kawalan.

“Dari kasih seorang saudara bertukar kepada cinta akibat sering disisihkan keluarga sendiri,” katanya.

Ditanya dari segi penghayatan, Taufiq berkata persembahan seperti ini agak sukar berbanding sebelumnya.

“Kadang kala ia bergantung kepada mood pelakon sendiri untuk mencorakkan jalan cerita ini.

“Kiranya saya bernasib baik kerana sudah banyak kali terlibat dengan pementasan di pentas-pentas kecil,” katanya.

Dalam masa yang sama, Taufiq menjelaskan penglibatannya dalam teater seperti memberikannya seribu kepuasan yang tidak mungkin di perolehi di pentas besar.

“Saya boleh bereksperimen dan menggali lagi bakat saya ketika berlakon.

“Berbeza di pentas besar, saya lebih gementar dan sukar untuk beri tumpuan sepenuhnya kerana audiens yang ramai,” kata bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) dalam jurusan Diploma Teater (Lakonan).

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");