Jenayah

Seludup minyak guna lori padi

seludup minyak

KUALA NERANG – Taktik penyeludup minyak menggunakan lori padi tumpas apabila aktiviti haram itu dapat dihidu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah (KPDNKK).

Timbalan Pengarah KPDNKK, Khalid Tik berkata, lima anggotanya yang diketuai Pegawai Ketua Operasi, Zahari Ismail telah melakukan risikan pada jam 1 pagi semalam selepas melihat sebuah lori padi mengambil minyak di kawasan pedalaman dari Jeniang hingga Kuala Nerang.

Katanya, penyeludup menggunakan lori sesuai dengan musim menuai sekarang ini supaya modus operandi itu tidak akan diketahui pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu mula dihidu pihak berkuasa apabila pemandunya telah memasuki beberapa stesen minyak kampung.

“Bagaimanapun selepas mengikut lori berkenaan, pemandu menyedari lorinya itu telah diikut lalu membawa kenderaan itu ke belakang sebuah premis di sebuah kawasan perumahan di Pekan Kuala Nerang dan meninggalkan lori itu,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa telah menunggu pemandu lori itu sehingga jam 10 pagi dan akhirnya pemandu lelaki tempatan berusia sekitar 30an itu telah menyerah diri dan ditahan pihak berkuasa.

“Semasa pihak berkuasa membuka penutup lori itu, terdapat lapan tangki petrol dengan muatan sebanyak 8,000 liter bernilai RM16,000.

“Pemandu itu mengaku dia hanya menunggu masa untuk membawa minyak yang penuh dalam tangki itu ke sempadan Durian Burung,” katanya.

Pemandu lori itu telah ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Seksyen 21 dan jika sabit kesalahan akan didenda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun dipenjara bagi kesalahan individu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");