Perak Hari Ini

Pesawat Boeing 737, Air Bus 380 Boleh Mendarat Di LTSAS Ipoh

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh kini selamat digunakan oleh semua pesawat yang dibenarkan mendarat di lapangan terbang tersebut, demikian kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Tegasnya, lapangan terbang itu selamat digunakan oleh pesawat jenis Boeing 737 dan Air Bus 320 apabila masalah landasan yang dilaporkan sebelum ini iaitu satu mendapan biasa yang telah dapat diselesaikan.

“Masalah mendapan tersebut telah berjaya diatasi oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas melantik syarikat perunding untuk melihat permasalahan yang sebenar,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah tersebut adalah mendapan biasa dan tiada lubang pasir wujud di landasan LTSAS.

“Apabila masalah itu berjaya diatasi, kita mengisytiharkan bahawa LTSAS boleh digunakan oleh pesawat Boeing 737 dan Airbus 320 tanpa had.

“Maknanya LTSAS boleh digunakan secara penuh dan ini merupakan satu berita baik kepada negeri Perak,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Abdul Aziz membuat lawatan kerja di LTSAS Ipoh sambil ditemani oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Zambry menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi lapangan terbang itu.

“Akhirnya, kita di pihak kerajaan negeri mendapat satu berita yang baik dan saya ucapkan terima kasih kepada pihak kementerian dan semua pegawai yang bertungkus-lumus bagi memastikan lapangan terbang ini kembali beroperasi seperti sedia kala,” katanya.

Ujarnya, dengan berita itu juga, rakyat diharapkan tidak lagi berasa gusar untuk menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang terbabit.

“Kita ingin membuktikan bahawa landasan ini selamat digunakan seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan.

“Kita juga mengharapkan kepada semua pihak agar tidak lagi berasa ragu-ragu dengan tahap keselamatan landasan LTSAS selepas ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");