Membawang Hari Ini

Sheera masih laku

sheera 1

RAMAI yang sudah mengetahui akan penghijrahan pelakon berbakat besar, Sheera Iskandar atau nama sebenarnya, Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar sejak Ramadan lalu yang tampil lebih ayu dengan mengenakan tudung.

Berkecimpung sebagai anak seni sejak berusia empat tahun, anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid ini tidak pernah menganggap penghijrahannya menutup pintu rezekinya itu.

Biarpun popularitinya masih lagi pada tahap biasa, Sheera memberitahu dia masih lagi menerima tawaran lakonan bersesuaian dengan imej barunya itu.

“Alhamdulillah, semenjak bertudung ini tawaran lakonan yang saya dapat seperti biasa.

“Bertudung bukanlah alasan untuk saya tidak bekerja (berlakon). Malah, sebelum ini, saya mendapat banyak tawaran berlakon yang memerlukan saya berhijab.

“Buat masa ini, saya sedang sibuk dengan penggambaran sebuah telefilem bagi terbitan Astro,” katanya pada Zass.

Tidak cukup setakat itu, drama bersiri terbaru lakonannya, Bohsia: Jalan Kembali juga mula ditayangkan sejak 11 Ogos di TV2 yang menggandingkannya dengan Qazem Nor, Lufya dan Datuk Aziz Singah.

“Drama 13 episod itu adalah adaptasi daripada filem yang sama arahan Syamsul Yusof,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kisah penghijrahannya, Sheera agak keberatan untuk berkongsi kepada umum.

“Saya hanya mengenakan tudung. Tiada apa-apa keistimewaan pun. Malah, saya memakai tudung atas kerelaan diri sendiri.

“Pada awalnya, keluarga saya pun tidak mengetahui akan perubahan saya ini.

“Apa yang saya harapkan agar ALLAH SWT terus tetapkan hati saya untuk berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.

Ketika ditanya adakah penghijrahannya ini disebabkan dia bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, pelakon berusia 29 tahun ini ternyata punya jawapannya sendiri.

“Saya memakai tudung bukanlah kerana orang lain. Tetapi, ia datang daripada hati sendiri.

“Buat masa ini, saya memang tidak menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki. Biarlah jodoh itu datang secara sendiri. Cuma, apa yang saya harapkan agar jodoh yang datang itu akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Lagi pun, keluarga juga tidak mendesak saya untuk segera berkahwin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sempena bulan kemerdekaan ini, Sheera bakal menyanyikan lagu Cintaku Malaysia duet bersama rappers, Doul yang juga rakan baiknya.

“Sebelum ini, saya hanya menyanyi di tandas kerana malu hendak menyanyi di depan orang ramai.

“Menyanyi hanyalah untuk berseronok dan saya tidak terfikir untuk menjadikannya sebagai karier.

“Saya tidak kisah akan kritikan orang terhadap nyanyian saya kerana pengkritik besar adalah ibu saya sendiri,” katanya yang berharap agar audiens akan sentiasa mengingati lagunya ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");