Jenayah

Kebumi sebelah kubur datuk

kebumi

PENDANG – Jenazah Muhammad Aqil Arfan Adnan, 4, yang meninggal dunia selepas terperangkap dalam kereta bapanya selamat dikebumikan bersebelahan kubur datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ga, Kubur Panjang di sini, semalam.

Ibu mangsa, Aishah Abu, 42, berkata, semasa melawat kubur datuknya pada Syawal lalu, Muhammad Aqil pernah berjanji akan datang semula bagi menghadiahkan surah al-Ikhlas kepada arwah datuknya yang meninggal pada tahun lalu.

Menurutnya, Muhammad Aqil sangat manja dengan datuknya.

“Kini anak saya sudah tiada dan bagi mengenang kasih sayang itu, kami mengebumikannya bersebelahan kubur datuknya itu. Kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi meskipun hanya  sempat bersamanya empat tahun,” katanya.

Aishah berkata, anaknya itu petah bercakap dan cepat menghafal surah al-Quran yang diajar di tadika.

Katanya, antara surah yang boleh dihafal dengan baik adalah surah al-Ikhlas dan Yasin.

“Arwah seorang kanak-kanak yang periang dan  gemar bermain dengan abang dan kakaknya setiap kali berkumpul terutama pada musim cuti sekolah. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini arwah sering mengusik kakaknya dengan menyembunyikan barang-barang mereka.

“Pada petang hari kejadian, saya terpaksa pulang lewat kerana  ada bengkel sejarah untuk pelajar sekolah menengah. Suami juga tidak sangka perkara sedemikian boleh berlaku,” katanya.

Bagi Muhammad Afiq Abrar, 12, kehilangan adiknya itu sangat dirasai kerana mereka sangat  akrab.

Menurutnya, arwah selalu merujuk kepadanya jika menghadapi masalah tentang pelajaran.

Kami sering bermain bersama walaupun hanya berdua,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Terap, Asisten Superintendan Chang Kut Choy mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan strok haba kerana  terperangkap dalam kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana kecuaian menyebabkan kematian,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");