Jenayah

‘Sinilah kalau berani…’

gro

Klang: “Sinilah kalau berani… jumpa dekat luar, satu lawan satu,”. Itu kata seorang lelaki yang juga pengunjung kelab malam yang tiba-tiba naik angin apabila ditegur anggota penguat kuasa supaya tidak menghampiri pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan dalam operasi bersepadu di Jalan Remia, Bandar Botanik di sini, awal pagi, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Jabatan Imigresen Selangor kira-kira jam 2 pagi, lelaki berusia 30-an itu tiba-tiba menghampiri seorang daripada GRO yang ditahan dan apabila ditegur tidak mengganggu wanita berkenaan, dia tidak mengendahkannya, sebaliknya terus berbual.

Sambil memberi alasan kononnya anggota penguat kuasa bersikap biadab kerana menariknya ke belakang, lelaki itu yang mabuk cuba membuat provokasi supaya berlaku pergaduhan.

Pengarah Penguat kuasa MPK Andry Arman Masrom berkata, operasi bersepadu itu susulan aduan orang ramai mengenai ada premis pusat hiburan di bandar ini yang beroperasi tanpa lesen sah selain menggaji pekerja asing tanpa permit.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya melakukan risikan dan hasilnya enam premis diserbu dan semua didapati beroperasi tanpa lesen sah.

“Enam premis yang diserbu itu ialah lima pusat hiburan serta satu rumah urut yang bukan sahaja beroperasi tanpa lesen, malah turut menggaji pendatang asing tanpa izin.

“Sebenarnya serbuan ini kali kedua dilakukan di semua lima pusat hiburan berkenaan dan ia menunjukkan sikap pemilik premis yang seakan-akan tidak serik dan terus berdegil,” katanya.

Beliau berkata, semua premis berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995 Pindaan 2001 Negeri Selangor bagi pusat hiburan manakala rumah urut pula dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK.

Dalam serbuan itu, turut ditahan ialah 19 GRO serta seorang lelaki berusia 22 hingga 30 tahun kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah serta tidak mematuhi Akta Imigresen.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");