Jenayah

Ajak pegawai imigresen berlawan

ajak berlawan

KLANG – “Kita lawan seorang dengan seorang, ada berani?,” demikian cabar seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol kepada anggota dan pegawai imigresen dalam operasi di sebuah kelab malam sekitar Ambang Botanic berdekatan GM Klang, Bukit Tinggi 2, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 30-an yang disyaki pelanggan kelab yang menjadi tumpuan VIP itu berkali-kali menjerit serta membuat bising.

Bagaimanapun setelah beberapa minit dia berjaya ditenangkan beberapa pelanggan lain.

Dalam serbuan yang disertai Jabatan Penguatkuasa MPK, Imigresen Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu, seramai 17 warga asing ditahan, 16 daripadanya adalah wanita warga Vietnam manakala seorang lagi lelaki warga Myanmar.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Ketua Unit Operasi Penguatkuasa Imigresen Selangor, Lailatul Aida Mohd Nasir berkata, kebanyakan yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah termasuk tinggal lebih masa di negara ini serta langgar syarat pas lawatan mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen.

Dalam pada itu agak mengejutkan apabila serbuan turut mendapati kelab malam berkenaan baru sebulan beroperasi dan tidak mempunyai lesen.

Pengarah Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom berkata, ia salah sebuah daripada lima pusat hiburan yang disita kerana tidak mempunyai lesen termasuk sebuah pusat urut.

“Ia hasil siasatan kita selama enam bulan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 Pindaan 2011,” katanya kepada pemberita, semalam.

Dari segi modus operandi, pemilik kelab itu dikatakan memberi tawaran kepada pelanggan yang membuat pesanan air minuman beralkohol untuk memilih mana-mana gadis Vietnam yang siap memakai nombor dengan mengenakan pakaian seragam bertemakan polis dan jabatan kerajaan lain.

Bagaimanapun lebih 50 pelanggan dalam pusat hiburan itu yang rata-ratanya lelaki tempatan sedang mabuk tidak sempat menerima layanan wanita tersebut selepas premis berkenaan diserbu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");