Berita Hari Ini

Keluarga harap 2 mayat lagi dapat dikenal pasti

mengenang mh17

GEORGETOWN – Anggota keluarga tiga sekeluarga dari Greenlane, di sini berharap dua lagi mayat insan tersayang mereka dalam tragedi MH17 dapat dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin.

Loh Ean Tin berkata, setakat ini mereka sekeluarga dimaklumkan hanya mayat kakaknya Loh Yan Hwa yang telah dikenal pasti manakala mayat ibunya Tan Siew Poh dan abang iparnya Fan Shun Po belum dikenal pasti.

“Kami sekeluarga berharap dua lagi anggota keluarga dapat dikenal pasti supaya dapat dibawa balik bersama jasad kakak saya.

“Saya bagi pihak keluarga turut ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami dan kepada pihak media yang memahami keadaan kami ketika ini (masih bersedih),” katanya semasa berucap pada majlis perkabungan negara peringkat Pulau Pinang di ruang legar tingkat bawah Komtar di sini hari ini.

Majlis bertafakur selama seminit itu turut dihadiri Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan exco kerajaan negeri serta Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan.

Ean Tin berkata, ibunya ke Amsterdam pada Jun untuk melawat kakak dan abang iparnya yang menjalankan perniagaan dan menetap di negara itu.

“Seluruh anggota keluarga masih bersedih dan seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku ke atas ibu, kakak dan suaminya itu. Kami juga berharap roh mereka dalam keadaan tenang,” katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar di pejabat ketua menteri Pulau Pinang selepas majlis itu, Lim berkata kerajaan negeri bersedia menerima kepulangan abu mendiang Yan Hwa yang dijadual diterbangkan ke Malaysia dalam kumpulan kedua Ahad ini.

Beliau berkata, daripada lapan mangsa yang berasal dari negeri ini, hanya tiga sekeluarga itu yang akan disemadikan di Pulau Pinang manakala yang lain dikebumi di tempat lain.

Lima lagi mangsa yang berasal dari Pulau Pinang ialah Kapten Eugine Choo Jin Leong, Sanjit Singh, Elaine Teoh, Nor Shazana Mohd Salleh dan Azrina Yaakob. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");