Jenayah

22 kes samun selesai

kes samun 2

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat kes samun di Taman Puteri Wangsa, dekat Ulu Tiram, 5 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun sekitar jam 3 petang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang bersenjatakan parang telah masuk ke dalam rumah dan melarikan barang milik mangsa.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki berusia 36 tahun sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

“Polis berjaya merampas sebuah kereta, sebilah parang, sebatang kunci allen yang diubahsuai dan pelbagai kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta lesen memandu milik orang lain,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hasnan berkata, semakan rekod kesalahan lalu mendapati kedua-dua suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Katanya, saringan ujian air kencing kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine malah mereka sudah dituduh di mahkamah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun serta sebatan.

“Kejayaan ini membolehkan polis menyelesaikan enam kes samun di kawasan pentadbiran IPD Johor Bahru Selatan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hasnan berkata, seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket kes samun tepi jalan dan pecah kereta di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, 19 Ogos lalu.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang didatangi seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di Jalan Sutera, Taman Pelangi, di sini.

Menurutnya, dalam kejadian jam 7.15 pagi itu suspek menolak cermin kereta mangsa dan melarikan sebuah beg tangan miliknya.

“Bertindak di atas maklumat, pada jam 9.30 pagi polis berjaya menahan suspek berusia 29 tahun di Jalan Sri Lanang, Kota Tinggi.

“Semasa tangkapan dibuat, suspek cuba bertindak agresif dan cuba mencederakan polis menyebabkan pergelutan berlaku. Bagaimanapun suspek berjaya ditahan,” katanya.

Hasnan berkata, polis berjaya merampas kereta jenis Nissan Sentra yang dilaporkan hilang bersabit kes samun di Seri Alam selain dua bilah parang, wang tunai RM1,069, enam telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan beg mengandungi beberapa kad bank.

“Suspek mempunyai tujuh rekod melibatkan kes jenayah dan dadah. Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan seorang lelaki bersama dua wanita di Kota Tinggi disyaki rakan sejenayah suspek,” katanya.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan reman sehingga 26 Ogos ini.

“Kejayaan ini membolehkan pihak polis menyelesaikan 16 kes samun tepi jalan, empat kes pecah kereta dan lima kes curi motosikal di kawasan pentadbiran IPD Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Johor Bahru Utara dan Kota Tinggi,” katanya.

Hasnan berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan saki baki suspek yang masih bebas.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");