Membawang Hari Ini

Pesona Juhi Chawla

Juhi chawla 1

WANITA jelita ini mula menguasai skrin Bollywood pada pertengahan 1980-an setelah menjadi Ratu India pada 1984.

Karakternya yang sangat ceria ditambah pula dengan lesung pipit membuatkannya kelihatan lebih menawan sewaktu tersenyum.

Dek personalitinya itu, maka tidak hairanlah apabila Juhi Chawla sering diberi kepercayaan untuk membawakan peranan heroin, sama ada melibatkan watak air mata atau gila-gila.

Lihat saja penampilan isteri Jay Mehta ini menerusi pelbagai filemnya seperti Oayamat Se Oayamat Tak (1984), Kannada (1988), Pratibandh (1990), Bol Radha Bold an Hum Hain Rahi Pyar Ke (1992), Ram Jaane (1995), Yes Boss (1997), Deewana Mastana (1997), Isha (1997) dan Duplicate (1998).

Tidak cukup dengan itu, Juhi masih lagi memainkan peranan sama menerusi filemnya yang lain seperti Phir Bhi Dil Hai Hindustani (2000), One 2 Ka 4 (2001), Paheli (2005), Om Shanti Om (2007), Krazzy4 (2008), Bhoothnath (2008), Kismat Konnection (2008), Luck By Chance (2009), I Am (2010) dan Bombay Talkies (2013).

Malah, penampilan yang cemerlang dalam setiap filemnya, membolehkan dia memenangi beberapa anugerah seperti Filmfare Best Actress Award dan Filmfare Best Movie Award.

Setelah selesa memegang watak ‘baik-baik’, Juhi akhirnya nekad mencabar diri untuk menjayakan watak antagonis pertamanya menerusi filem Gulaab Gang, pada awal tahun ini.

Kata Juhi, dia pernah meminta penulis skrip filem berkenaan merombak semula jalan cerita kerana tidak yakin akan kemampuan dirinya.

“Pada mulanya, saya memang tidak selesa untuk membawakan watak antagonis.

“Tapi, selepas beberapa sesi latihan, saya mula yakin dan suka akan watak antagonis dan apabila melihat hasilnya saya terkejut kerana mampu melakukannya,” katanya kepada Zee News.

Setelah beberapa lama berlakon, Juhi yang juga seorang pengacara akhirnya muncul sebagai penerbit apabila menubuhkan syarikat produksi Dreamz Unlimited (kini dikenali sebagai Red Chillies Entertainment) bersama-sama rakan karibnya, Shah Rukh Khan dan Aziz Mirza.

Setakat ini, syarikat produksi mereka telah menerbitkan filem Phir Bhi Dil Hai Hindustani (2000), Asoka (2001) dan Chalte Chalte (2003).

Ego memakan diri

Aktres berusia 47 tahun ini mengakui dia adalah seorang yang ego.

Dek sikapnya itu, dia mengakui telah menolak banyak tawaran berlakon filem yang mana kebanyakannya kemudiannya menjadi filem blockbuster.

“Saya agak berlagak waktu itu. Saya ingat apabila saya menolak setiap tawaran yang datang, industri filem Bollywood akan merudum.

“Ketika itu, saya berasakan yang diri ini sangat diperlukan dalam industri filem kerana saya masih muda dan pelakon wanita paling berjaya,” katanya.

Tambahnya, tawaran berlakon filem seperti Raja Hindustani, Dil To Pagal Hai dan Judaai yang ditolak, semuanya menjadi box office.

“Saya sangat bodoh kerana membuat keputusan yang salah. Saya tak kisah dan tidak malu untuk bercakap mengenai sikap saya dulu kerana semuanya sudah berlalu.
“Saya berharap pelakon baru belajar daripada kesilapan saya itu,” katanya.

Jelasnya, antara sebab dia menolak tawaran berlakon filem berkenaan adalah kerana ia menampilkan dua heroin dan dia tidak menyukainya.

Beralih ke Hollywood?

Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Ambala, Haryana, India itu bakal tampil dalam filem Hollywood, The Hundred- Foot Journey.

Filem arahan Lasse Hallstrom itu adalah adaptasi daripada novel berjudul sama tulisan Richard C Morias dan mempertaruhkan bakat lakonan Juhi, Helen Mirren, Manish Dayal, Om Puri dan Charlotte Le Bon.

Biarpun hanya tampil dalam dua adegan, namun Juhi sangat berbangga apabila dipilih membintangi filem ini.

Begitu pun, dia tidak merasakan filem ini adalah pengenalannya kepada dunia lakonan di Hollywood.

“Saya hanya bertindak sebagai ‘cameo’. Ini bukanlah langkah untuk saya ke Hollywood.

“Saya ada dalam babak pengenalan tersebut hanya untuk tempoh dua minit,” katanya pada PTI.

The Hundred-Foot Journey mengisahkan satu keluarga India yang telah berpindah ke selatan Perancis untuk membuka sebuah restoran India berhadapan dengan lokasi restoran Perancis mewah sehingga mencetuskan persaingan di antara dua restoran tersebut.

Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam pada 28 Ogos ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");