Perak Hari Ini

Kerajaan Buat Bancian Semula Elak Penduduk Teraniaya

DS Zambry Abdul Kadir

Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) telah membuat bancian semula bagi memastikan tiada penduduk teraniaya dalam proses pengeluaran hak milik tanah rizab di Kuala Sepetang, dekat Taiping.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini, beliau menggesa agar penduduk bersabar dan memahami kedudukan sebenar bagi memastikan proses pengeluaran hak milik tanah berjalan seperti yang dirancang.

“Penduduk juga harus ingat tentang usaha yang kita laksanakan untuk memperolehi tanah tersebut yang telah diserahkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada Kerajaan Persekutuan suatu masa dahulu.

“Kita berusaha bersungguh-sungguh agar tanah itu dikembalikan semula kepada kerajaan negeri dan bancian semula dilaksanakan bagi memastikan hak milik tanah diberi kepada mereka yang benar-benar layak dan tinggal di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya dimaklumkan ada di kalangan penduduk di situ mempunyai lebih daripada sebuah rumah, sekaligus tidak adil bagi yang lain.

“Kita mengenalpasti beberapa isu antaranya ada penduduk di situ mempunyai empat buah rumah sekaligus iaitu hanya sebuah rumah digunakan untuk tempat tinggal manakala tiga buah lagi disewa.

“Bagi saya, ia adalah sesuatu yang tidak baik kerana tanah itu untuk tapak tempat tinggal masing-masing tapi jika dijadikan pula tempat untuk berniaga, sudah tentu akan ia mendatangkan masalah kepada orang lain,” katanya lagi.

Beliau turut berharap agar semua pihak memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri bagi menangani masalah terbabit.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas isu lebih dimana kira – kira 100 penduduk yang menduduki tanah rizab tersebut sejak 40 tahun lalu, dikatakan kerugian lebih RM500,000 selepas ditipu oleh tiga individu yang menjanjikan pemberian geran tanah yang mereka duduki pada masa ini.

Pada 2011, kerajaan negeri Perak telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Larut, Matang dan Selama (LMS) untuk mengenalpasti penduduk yang tinggal di kawasan tanah rizab kereta api antara Taiping dan Kuala Sepetang bagi diberi hak milik.

Tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu telah diberikan kepada kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan.

KTMB sebelum ini telah menyerahkan tanah rizab berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan. Tanah berkenaan membabitkan bekas landasan kereta api pertama negara antara Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang).

Pada 27 Januari 2010, Jemaah Menteri yang bermesyuarat telah melepaskan tanah rizab itu kepada kerajaan Perak kerana ia tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api sejak 1941.

Tanah berkeluasan 94.5 hektar itu didiami 643 keluarga setinggan dan sebanyak 786 bangunan serta 12 tempat ibadat telah didirikan.

Tanah rizab berkenaan menjadi isu apabila Kementerian Pengangkutan menawarkan tanah itu dengan harga RM37 juta kepada kerajaan negeri Perak dan ia tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");