Membawang Hari Ini

Khas untuk Bocey

GABUNGAN Fad (kiri), Abam dan Achey sebagai kumpulan Bocey bermula ketika mereka bertanding dalam program Maharaja Lawak Mega 2013:-

FILEM berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa yang baru sahaja ditayangkan di pawagam sejak 14 Ogos lalu menampilkan pemenang tempat ketiga program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013, Bocey selaku teraju utama.

Diterbitkan oleh syarikat produksi Mangkin Prestij, filem berkenaan juga menggunakan khidmat pengarah Hashim Rejab yang buat pertama kali mengarah sebuah filem bercorak komedi.

Pada satu majlis prebiu yang diadakan di Cathay Cineplex e@Curve, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini, Hashim mengakui, dia agak berdebar menerima reaksi penonton terhadap filemnya itu.

“Sebelum ini saya kerap menghasilkan genre filem yang agak berat seperti Longkai, Budak Pailang dan Sekali Lagi. Namun, mengarahkan filem komedi seram, Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa sesuatu yang baharu buat diri saya.

“Selain menampilkan jalan cerita yang bertemakan komedi seram, filem ini juga tidak menampilkan pelakon wanita sebagai watak utama. Sudah tentu, ia suatu langkah yang jarang dilakukan dalam sesebuah pembikinan filem,” ujarnya.

Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa mengisahkan tentang kehidupan tiga orang sahabat iaitu Rudy, Akhiruddin dan Remy yang menjalani kehidupan di Kuala Lumpur serta tinggal di sebuah rumah sewa kepunyaan Osman Basah.

Dalam pada itu, anak saudara Osman iaitu Saipol yang merupakan seorang mat rempit ingin menyewa salah sebuah bilik di rumah berkenaan. Ketiga-tiga sahabat itu terpaksa memberikan kebenaran memandangkan hutang sewa yang sudah tertunggak selama tiga bulan.

Berkenaan dengan pemilihan kumpulan Bocey yang dianggotai Mohd. Nasir Hamza (Achey), Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Ridzuan (Abam) dan Muhamad Fadzlie Mohd. Nizam (Fad) sebagai pelakon utama, pengarah berkenaan melihat potensi yang dimiliki oleh kumpulan pelawak itu.

“Kalau diikutkan idea asal filem ini merupakan idea saya sendiri, tetapi skrip dihasilkan oleh panel skrip Metrowealth. Ketika mendapat idea, memang dalam gambaran saya kumpulan Bocey paling sesuai.

“Saya sudah mula tertarik dengan aksi mereka sejak menyertai MLM 2013 dulu. Biarpun baru bersaing pada minggu ketiga, aksi yang ditampilkan mereka dalam pertandingan tersebut sangat melucukan,” jelasnya.

Jelasnya, pada peringkat awal filem Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa dihasilkan dalam genre psiko thriller, tetapi setelah perbincangan dibuat dia dan Mangkin Prestij sepakat menjadikannya sebagai sebuah filem komedi seram.

Terharu

Menceritakan lebih lanjut tentang pembabitan kumpulan Bocey, salah seorang ahlinya iaitu Achey mengakui bahawa pada mulanya mereka tidak percaya dengan tawaran yang diterima.

Ujarnya, memandangkan sewaktu MLM 2013 dahulu, Bocey baru sahaja dibentuk sebagai satu kumpulan, dia sendiri seperti tidak percaya masih ada pihak yang sudah nampak potensi yang dimiliki mereka.

“Pada waktu itu kami sedang dalam proses mencari keserasian bersama memandangkan Bocey dibentuk kerana penyertaan dalam MLM 2013. Malah, kami tidak sangka mampu muncul pemenang tempat ketiga dan mampu bersaing dengan peserta lain.

“Jadi, kami berasa cukup terharu apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini. Memandangkan ia merupakan filem sulung lakonan kami, saya berharap agar penonton akan terhibur ketika menontonnya,” ujarnya.

Selain menampilkan Achey, Fad dan Abam, Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa turut dibintangi beberapa pelakon lain iaitu Yassin SYJ dan Eppy Kodiang.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");