Sukan Hari Ini

Gergasi Merah tekad bangkit

KUNANLAN (depan) akan pastikan Selangor kembali mempamerkan aksi lebih garang di Stadium Shah Alam:-

KEGAGALAN Selangor mengutip sebarang mata di Stadium Shah Alam dalam kempen Piala Malaysia 2014 nyata memberikan kesan negatif kepada barisan pemainnya.

Malah, Stadium Shah Alam juga menjadi saksi Selangor kehilangan kaptennya, Bunyamin Umar yang dilayangkan kad merah ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi kedua peringkat Kumpulan D, Rabu lalu.

Menjelang pertemuan menentang Sime Darby di laman sendiri pada malam ini, S. Kunanlan mengharapkan agar skuad Gergasi Merah tidak kehilangan mata berharga.

Jelas pemain sayap kiri itu, Selangor telah kembali mempamerkan prestasi sebenar selepas menewaskan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu.

Katanya lagi, pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu telah berazam untuk meneruskan rentak cemerlang dalam misi menjulang satu trofi pada musim ini.

“Stadium Shah Alam sepatutnya menjadi laman keramat buat Selangor. Kami tidak boleh tewas lagi. Selangor mempamerkan prestasi cemerlang ketika beraksi di gelanggang lawan.

“Kami berjaya menewaskan T-Team 2-1 (di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) dan Sime Darby. Sepatutnya kami tidak boleh tewas mudah ketika beraksi di laman sendiri.

“Apa yang pasti, Selangor telah menunjukkan satu persembahan yang menarik ketika menentang Sime Darby. Kami tidak boleh cepat leka dan harus mengekalkan fokus ketika menentang mereka esok (hari ini).

“Kami berharap penyokong-penyokong terus memberikan sokongan kepada Selangor dan kami sebagai pemain, akan berusaha untuk menghasilkan kemenangan ketika menentang Sime Darby,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Tambah bekas pemain Negeri Sembilan itu, dia kini terpaksa beraksi di posisi pertahanan kiri kerana Mehmet terpaksa merombak kesebelasan utama Selangor disebabkan ketiadaan Bunyamin.

Kunanlan mengakui yang dia kurang selesa untuk beraksi di posisi tersebut dan berharap dapat kembali ke posisi asalnya selaku pemain sayap.

“Ketiadaan Bunyamin menyebabkan jurulatih (Mehmet) meletakkan saya di posisi pertahanan kiri dan saya berharap saya akan bermain di posisi itu buat kali terakhir pada aksi menentang Sime Darby nanti (selepas penggantungan Bunyamin tamat).

“Ini kerana saya berpendapat, keupayaan saya lebih berkesan diletakkan di posisi sayap tetapi misi saya adalah gawang tidak bocor ketika saya beraksi di posisi pertahanan menentang Sime Darby,” katanya.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");