Jenayah

Kastam Johor gagalkan penyeludupan 155,000 bungkus rokok putih

RAMLI JOHARI / SELUDUP ROKOK

JOHOR BAHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor berjaya menggagalkan penyeludupan masuk 155,000 bungkus rokok putih selepas menahan seorang pemandu lori di FELDA Tenggaroh, dekat Mersing, dua hari lalu.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari, berkata lelaki berusia 40-an yang sedang memandu lori berkenaan menghala ke jalan utama Kota Tinggi-Mersing ditahan pada kira-kira jam 1.45 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota kastam.

“Pemeriksaan di dalam lori itu menemukan rokok satu jenama yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.9 juta termasuk duti dan cukai,” katanya kepada pemberita di Menara Kastam, di sini, hari ini.

Ramli berkata, rokok yang dipercayai dari negara jiran itu dibawa masuk menggunakan laluan tidak sah di tepi pantai sebelum diangkut menggunakan lori terbabit.

Beliau berkata, lelaki tempatan itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Ramli meminta individu dan syarikat yang menjalankan perniagaan di negeri ini supaya membuat pendaftaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum 30 September walaupun tarikh pendaftaran berakhir 31 Disember.

Beliau berkata, pendaftaran lebih awal itu membolehkan pihak kastam melatih individu dan syarikat tentang GST sebelum pelaksanaannya dikuatkuasakan 1 April depan.

Katanya, pendaftaran terbabit sudah bermula 1 Jun lalu dan setakat ini hanya 2,400 individu dan syarikat di negeri ini tampil berdaftar.

“Kami menasihatkan mereka supaya tidak membuat pendaftaran pada saat akhir kerana mereka yang berdaftar selepas 1 Januari akan dikenakan penalti. Kastam turut menyediakan kiosk di pejabat kastam di Larkin, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Gelang Patah untuk pendaftaran berkenaan,” katanya. – BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");