Jenayah

Gesa kenal pasti pemilik tanah

Ken Seng menunjukkan rangka dawai tayar yang rentung selepas dibakar pihak tidak bertanggungjawab di kawasan pembuangan sampah haram:-

RASA – Sebuah kawasan dipercayai tanah milik persendirian di Jalan Rasa – Bukit Beruntung dekat Tanah Perkuburan Cina Rasa dijadikan tempat pembuangan dan pelupusan sampah haram sejak lebih setahun lalu.

Ketua Kampung Chuang, Lim Ken Seng berkata, kawasan seluas lebih kurang setengah ekar itu menyebabkan pencemaran bau busuk dan pencemaran udara disebabkan kegiatan pembakaran secara terbuka.

“Aduan mengenai masalah ini dibuat oleh penduduk kampung sebab bau busuk dan asapnya tercemar ke udara sampai ke kawasan Pekan Rasa.

“Aduan juga diterima daripada pekebun berdekatan yang mengusahakan tanaman kelapa sawit,” katanya ketika melawat kawasan tersebut, semalam.

Menurutnya, sampah yang dibuang di kawasan itu terdiri daripada sampah domestik, industri, bahan plastik, getah, tayar, batu konkrit, kayu serta tong dipercayai mengandungi bahan toksik dan besi.

Katanya, kesemua bahan buangan itu dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan penduduk yang terhidu baunya.

“Tanaman sawit yang ada di sekitar ini juga boleh tercemar buahnya dan mungkin boleh rosak atau mati.

“Kalau keadaan ini tak dihalang boleh menyebabkan masalah lebih buruk berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia menggesa pihak berwajib untuk mengenal pasti pemilik tanah berkenaan dan dikenakan kompaun jika didapati bersalah atau ada kaitan dengan pihak yang membuang sampah di kawasan itu.

Katanya, pihak yang membuang sampah di kawasan itu sukar dikesan kerana kawasannya yang gelap dan jauh daripada tumpuan umum.

Tinjauan semalam turut mendapati masih terdapat kawasan yang terbakar dan mengeluarkan asap tebal ke udara.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan Khamis ini.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");