Berita Hari Ini

‘Malaysia tidak perlu miliki loji tenaga nuklear’

bndera malaysia

ASTANA – Pengamal Perubatan Malaysia Untuk Tanggungjawab Sosial (MPSR) berharap kerajaan Malaysia akan mempertimbang dengan serius untuk tidak mempunyai loji nuklear di dalam negara.

Presidennya Dr David KL Quek berkata MPSR membantah idea ini walaupun loji nuklear hanya untuk menjana tenaga, namun ia boleh membawa banyak mudarat daripada manfaat.

Beliau berkata, kebimbangan utama mereka adalah kemalangan boleh berlaku walaupun langkah berjaga-jaga diambil bagi menghasilkan tenaga manakala faktor kos boleh menjadi satu lagi sebab untuk kerajaan mempertimbangkannya.

” Masalah utama ialah bagaimana untuk menyimpan sisanya, di mana ia akan diletakkan. Selain itu, ia tidak benar-benar mesra alam,” katanya ketika ditemui di luar Kongres Sedunia Pengamal Perubatan Untuk Pencegahan Perang Nuklear kali ke-21 (IPPNW) yang berlangsung di Independent Palace di sini hari ini.

MPSR sebuan badan yang tidak berat sebelah, persatuan bebas yang terdiri daripada pengamal dan pelajar perubatan yang bermatlamat untuk bekerja ke arah keamanan, keadilan sosial, pembangunan mapan ekologi, keselamatan manusia, dan mencegah perang konvensional dan nuklear melalui penyelesaian secara damai sesuatu konflik dan pemansuhan senjata nuklear, kimia dan biologi melalui penyelidikan, pendidikan dan sokongan.

Dr Quek berkata, kos bagi membina loji nuklear amat tinggi iaitu sekitar US$10 bilion sehingga US$15 bilion.

“Dengan jumlah wang yang begitu besar, kerajaan boleh mempertimbang untuk melabur dalam tenaga yang boleh diperbaharui terutama tenaga solar.

“Bagi saya, Malaysia masih belum bersedia untuk tenaga nuklear lagi. Mungkin pada masa depan jika teknologi kita berkembang dengan progresif. Untuk memilikinya sekarang… kedudukan kita masih lagi jauh untuk itu,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan pada Disember 2010, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia merancang untuk membina dua loji tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, satu menjelang tahun 2021 dan keduanya setahun kemudian.

Insiden letupan di loji tenaga Fukushima, Jepun pada 2011, yang menyebabkan pencemaran radiasi telah menimbulkan kebimbangan masyarakat dunia berhubung risiko tenaga nuklear.

Bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata kerajaan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan membina loji tenaga nuklear di dalam negara dalam masa 10 tahun.

Mah yang bertanggungjawab menyelia Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC) itu berkata kajian komprehensif termasuk penerimaan masyarakat, adalah perlu selain mendapatkan input daripada pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

Dr Quek menyebut kes Fukushima sebagai contoh, di mana walaupun pelaksanaannya betul dan berteknologi tinggi, loji nuklear menimbulkan masalah kepada Jepun.

“Lihatlah Fukushima. Mereka mempunyai teknologi yang baik namun apabila berlaku gempa bumi, kemudian datang tsunami, ia menyebabkan banyak masalah kepada rakyat Jepun. Keadaan di kawasan yang terjejas masih tidak menentu sehingga sekarang,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");