Perak Hari Ini

Perak Rangka Pelan Komprehensif Bangun Sektor Pelancongan Di Pulau Pangkor

Kerajaan Perak mengarahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi merangka pelan komprehensif untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai tema yang tersendiri.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, perancangan itu perlu bagi memastikan Pulau Pangkor mempunyai tema atau jenama yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita di pihak kerajan negeri sedang merangka pelan komprehensif tentang sektor pelancongan di Pulau Pangkor dengan mewujudkan tema khusus bagi pulau peranginan ini.

“Ia antara lain bertujuan mengelakkan kita menggunakan berbagai bentuk pelancongan hingga menghilangkan tema asas bagi kawasan pelancongan seperti di Pulau Pangkor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pra-pelancaran Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PPID) di Coral Bay Resort dekat Pulau Pangkor, hari ini.

Beliau berkata, melalui pelan pembangunan itu juga, pihaknya akan dapat mengenalpasti kawasan baru yang berpotensi untuk dibangunkan di masa akan datang.

“Terdapat kawasan-kawasan tertentu yang boleh dibangunkan di Pulau Pangkor untuk menarik pelancong yang berpendapatan rendah dan sederhana selain sesuai menjadi lokasi penganjuran kursus dan persidangan,” katanya lagi.

Ujarnya, melalui perancangan yang sistematik itu juga, sektor pelancongan khususnya di Pulau Pangkor dapat berkembang dengan lebih pesat.

“Melalui perancangan yang baik, kita percaya pembangunan industri pelancongan di sini akan jadi lebih mampan dan bukannya satu pembaziran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menasihati penduduk tempatan supaya menjaga dan menyayangi Pulau Pangkor bagi memudahkan usaha kerajaan membangunkan kawasan tersebut di masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");