Membawang Hari Ini

Gabungan Magis Jamal Abdillah & Eddy Silitonga Dalam ‘Konsert Nostalgia’

konsert 2

KUALA LUMPUR: Usia ternyatalah bukan faktor penghalang kepada penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah untuk memberikan persembahan bertenaga pada Konsert Nostalgia bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-57 di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam Rabu.

Kemunculan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 55, mendendangkan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Azura, Kekasih Awal dan Akhir, Samrah Mentari dan Siti Norbaya mengingatkan penonton tentang gelaran Raja Pop yang diberikan kepadanya.

Secara bergurau Jamal melabelkan segmen berkenaan sebagai segmen ‘membunuh diri’ – ironiknya beliau terselamat dan penonton berasa sesak nafas melihat kehebatan vokalnya mendendangkan lagu yang mempunyai nada tinggi tanpa sebarang kesukaran.

Terdahulu Jamal tampil dengan rangkaian lagu-lagu yang belum pernah didendangkannya sebelum ini seperti Juliana, Menanti Kasih, Aku, Bicara Cinta, Secupak 2 Cupak dan Suratan Kasih.

Jamal turut menyampaikan sebuah lagu istimewa berjudul Agongnya Kecintaan yang didedikasikan kepada tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MH) iaitu MH370 dan MH17.

Jelas dapat dilihat emosi menyelubungi Jamal ketika mendendangkan lagu tersebut dan jelasnya konsert itu bukan sahaja untuk berhibur tetapi ingin menyampaikan mesej kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

Pada konsert malam untuk previu media itu, Jamal turut mendedikasikan rangkaian beberapa buah lagu kepada Datuk Dr. Ahmad Nawab yang banyak bekerjasama dengannya sebelum ini.

Biarpun medley lagu-lagu seperti Dimana Bayangan Mu, Sepi Seorang Perindu, Keluhan Perantau dan Antara Yakin dan Curiga itu tidak begitu popular namun kelunakan suara beliau menjadikan segmen berkenaan cukup istimewa.

Konsert Nostalgia yang bermula sejak 28 Ogos lalu akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini dan turut menampilkan penyanyi Indonesia terkenal, Eddy Silitonga dan penampilan istimewa anak lelaki Jamal, iaitu Osama Yamani.

Konsert diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada pukul 8.30 malam.

Sementara itu, kemunculan Eddy mendapat sorakan gemuruh daripada penonton tampil mendendangkan empat buah lagu yang juga permintaan khas daripada Jamal sendiri.

Kurus Kering, Mata Jeli berentak rancak menghidupkan suasana malam itu malah Eddy turut menampilkan tiga orang anak lelakinya iaitu Mario, Marco, Dicky untuk sama-sama mengiringinya mendendangkan dua buah lagu iaitu Jatuh Cinta dan Bukan Hidup Hanya Sehari.

Antara lagu popular Eddy yang turut disampaikan pada malam itu adalah Melati, Fatwa Pujangga, Mama, Kini Ku Sedari dan Lagu Untuk Mu.

Selain itu Jamal dan Eddy turut menyampaikan beberapa lagu berunsurkan patriotik seperti Bahtera Merdeka, Di Ambang Sore, Kucupan Azimat, Hujan Semalam, Makan Sirih dan Gelisah untuk segmen sempena Hari Kemerdekaan.

Manakala kemunculan anak lelaki sulung Jamal, Osama pada akhir konsert cukup berbaloi kerana remaja berusia 13 tahun itu mempunyai bakat besar seperti mana bapanya.

Tampil berduet dengan bapanya menerusi lagu Hingga Tiba Saat Ini dan Derita Cerita, bakat remaja itu jika diasah mampu menyerlah pada masa hadapan.

Tiket bagi menyaksikan persembahan ini dijual serendah RM58 sehingga RM458 yang boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");