Jenayah

AirAsia Sahkan Ancaman Bom Terhadap Salah Satu Pesawatnya Di Thailand

airasia

PETALING JAYA: AirAsia mengesahkan terdapat ancaman bom dibuat terhadap salah satu pesawatnya dalam penerbangan dari Bangkok ke Phuket pada Selasa.

“Kami mengesahkan terdapat ancaman bom terhadap pesawat AirAsia bagi penerbangan FD3003 pada 26 Ogos seperti yang dilaporkan dan kami bekerjasama penuh dengan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Thailand (AoT) yang mengendalikan kes ini,” kata AirAsia dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada The Star Online pada Khamis.

Pesawat itu mendarat selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket (HKT) pada pukul 12.15 tengah hari Selasa.

AoT dalam satu kenyataan berkata, HKT menerima panggilan telefon mengenai ancaman bom pada penerbangan AirAsia FD 3003 selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Don Mueang di Bangkok.

Mengenai ancaman itu, AoT mengesahkan bahawa pesawat Airbus A320-200 yang membawa 167 penumpang, empat kru dan dua juruterbang, berlepas dari lapangan terbang itu pada pukul 10.55 pagi.

“AoT kemudian melakukan prosedur kecemasan dengan menyediakan kawasan parkir berasingan untuk pesawat itu dan mendapatkan agensi berkaitan untuk menerima pesawat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai pemerintah di lokasi mengetuai unit Bahagian Ordinan Bahan Letupan (EOD) dan pegawai-pegawai berkaitan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap ruang bagasi pesawat sebagai protokol kecemasan.

Menurut AoT, pemeriksaan itu tidak menemui sebarang objek mencurigakan yang dikatakan sebagai ancaman.

Ia menambah bahawa syarikat penerbangan dan penumpang penerbangan itu memberi kerjasama melalui proses itu dan pesawat berkenaan dibenarkan berlepas dari HKT pada pukul 3.08 petang.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Don Mueang pada pukul 4.28 petang.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, pihak berkuasa percaya bahawa ancaman bom itu bertujuan untuk menimbulkan kekecohan dan menganggu penerbangan.

“AoT melancarkan siasatan penuh berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");