Berita Hari Ini

Kajian cadangan bina loji air baharu di Terengganu siap

satulogo_cropped.transformed

KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah menyiapkan kajian terperinci cadangan pembinaan loji rawatan air yang baharu bagi menampung peningkatan permintaan bekalan air bersih di negeri itu khasnya di daerah Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Husain Embong berkata, kajian itu penting kerana baki keupayaan loji rawatan memproses air bagi daerah itu kini berada di tahap 15.68 peratus.

Katanya ia ditambah dengan permintaan bekalan air bersih antara lima peratus hingga tujuh peratus setahun.

“Mengikut garis panduan yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), baki keupayaan loji rawatan hendaklah berada pada tahap melebihi 15 peratus.

“Oleh yang demikian cadangan pembinaan loji rawatan air yang baharu itu telah disenaraikan sebagai keutamaan bagi projek pembangunan infrastruktur bekalan air negeri itu,” memetik katanya dalam Buletin SATU di sini.

Husain berkata, cadangan projek itu melibatkan tambahan keupayaan kapasiti pengeluaran air terawat sebanyak 220 juta liter sehari yang dijangka mampu menampung permintaan bekalan air sehingga 2040.

Katanya dari segi sumber bekalan air mentah Terengganu khususnya di daerah Kuala Terengganu ia mempunyai jaluran sungai yaang mencukupi bagi sumber bekalan air mentah.

“Kajian yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Kajian Sumber Air Negara, bekalan air mentah dari Sungai Terengganu dan Sungai Nerus mampu menampung bekalan air mentah kepada penduduk Kuala Terengganu sehingga 2050,” katanya.

Husain berkata kualiti sumber air mentahnya juga berada pada tahap yang sangat baik.

Namun demikian katanya ancaman kepada pencemaran sumber air seperti pelepasan sisa-sisa pertanian, aktiviti perlombongan pasir, aktiviti penternakan ikan dalam sangkar dan sebagainya perlu dikawal oleh agensi yang terlibat.

Beliau berkata pencemaran sumber air boleh meningkatkan kos rawatan air SATU. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");