Jenayah

Cemas 24 jam sesat di hutan

cemas

DUNGUN – Empat sahabat melalui detik cemas selepas sesat ketika berburu di hutan dekat sini, Selasa lalu.

Mereka bagaimanapun ditemui selamat setelah berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk mencari jalan keluar.

Menurut salah seorang mangsa, Mamat Yusof, 60, berburu memang aktiviti kegemaran mereka sejak dahulu dan tidak sangka pula kali ini ditimpa ujian sesat di hutan.

“Kami terpaksa makan bunga-bungaan hutan dan minum air paya untuk menahan lapar, selepas bermalam di hutan dan keesokan harinya berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk mencari jalan keluar.

“Alhamdulillah usaha kami menjejak jalan keluar berhasil biarpun pelbagai dugaan dihadapi,” katanya.

Empat sahabat itu, Mamat, Rosdi Baba,47, Syed Hamka Tuan Chik,51, dan Shukri Aziz,47, dilaporkan masuk ke hutan kira-kira jam 9 pagi dan terkandas di hutan hampir 24 jam.

Mangsa yang merupakan penduduk tempatan termasuk Rosdi yang juga bekas Ketua PKR Cabang Dungun dilaporkan terkandas selepas salah seorang daripada rakan mereka, Shukri sakit kaki dan tidak dapat berjalan akibat kecederaan dialami setelah terbabit kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

Kata Mamat, mereka sepatutnya pulang pada petang hari yang sama, namun terpaksa menangguhkan hasrat selepas Shukri tidak dapat berjalan lalu mengambil keputusan untuk bermalam di hutan.

“Keadaan makin runcing apabila kami tidak membawa bekalan makanan.

“Selain makan bunga-bungaan, kami terpaksa berlindung di sebalik akar kayu, saya sangat bimbang ketika itu,” katanya.

Kata Mamat, ketika di hutan, hujan turun dengan lebat menyebabkan mereka kesejukan dan tidak dapat melelapkan mata kerana risaukan keadaan Shukri.

Lebih malang, usaha untuk mendapat bantuan daripada pihak luar juga gagal kerana lokasi terbabit tiada liputan talian telefon.

Bagaimanapun, selepas hari mulai cerah, mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan dengan memapah Shukri secara bergilir-gilir.

“Selepas hampir 10 kilometer berjalan kaki, kami akhirnya menemui lebuh raya dan berjaya menghubungi seorang rakan untuk meminta bantuan.

“Akhirnya kami selamat, namun kejadian ini memberi pengalaman yang amat berguna kepada kami,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");