Laporan Eksklusif

PM yakin MAS kembali pulih

pm

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin penstrukturan semula MAS oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dapat memulihkan syarikat penerbangan negara itu.

Beliau yang juga Pengerusi Khazanah berkata, penstrukturan semula itu akan menggariskan tiga prinsip utama.

“Rancangan ini akan berjaya kerana Khazanah ada pengalaman. Industri penerbangan ini sangat kompetitif dan kalau kita tidak buat penstrukturan semula secara menyeluruh, maka ia tak akan berjaya.

“Selain itu, kita telah menggariskan beberapa prinsip iaitu ia mesti mengikut kehendak rakyat yang mahukan MAS terus wujud sebagai syarikat penerbangan negara yang boleh dibanggakan. Kedua, kita mesti menjadikan MAS sebagai syarikat penerbangan berasaskan komersial.

“Ketiga, kita mahu semua langkah penstrukturan semula MAS termasuk pengurangan pekerja dibuat secara kemanusiaan dan belas kasihan. Misalnya, kita boleh menyediakan alternatif pekerjaan untuk mereka atau buat penskalaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, penstrukturan semula MAS yang melibatkan suntikan RM6 bilion oleh Khazanah juga merupakan satu pelaburan dan MAS diharap dapat menunjukkan perkembangan positif dalam masa tiga tahun.

“Khazanah menyuntik RM6 bilion untuk menjadikan MAS sebagai organisasi berdaya maju. Khazanah mesti dapatkan semula pulangan dengan jumlah tersebut kerana ia adalah satu pelaburan.

“Pemulihan penuh mungkin ambil masa lebih tiga tahun. Tapi saya harap kita dapat lihat hasil yang positif dalam tiga tahun ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gesaan Pemuda Umno agar MAS menampilkan budaya ketimuran berlandaskan syariat Islam seperti menghentikan penjualan arak dalam pesawat yang disiarkan Sinar Harian, Najib berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas penstrukturan semula MAS selesai.

“Apa-apa pun kita lihat (isu arak) kemudian. Yang penting kita nak buat penstrukturan semula dalam MAS dahulu,” katanya.

Sebelum ini, MAS dilaporkan mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM302.62 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2014 berbanding kerugian sebanyak RM165.89 juta pada suku yang sama, tahun lepas.

Kredibiliti syarikat penerbangan itu juga terjejas setelah mengalami dua insiden malang iaitu kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Kedua-dua insiden tersebut menyebabkan MAS kerugian sebanyak RM2 bilion.

Teguran Tun M soal dalaman parti

Sementara itu, Najib menyifatkan teguran yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinannya sebagai isu dalaman Umno.

Beliau berharap isu tersebut tidak berlarutan dan dapat diselesaikan dengan baik.

“Kebanyakan pemimpin Umno sudah buat kenyataan dan pendirian mereka iaitu terus memberi sokongan kepada pimpinan sedia ada.

“Di samping itu, mereka juga tetap menghormati pandangan Dr Mahathir sebagai pemimpin berpengalaman dalam parti,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan beliau akan berjumpa Dr Mahathir secara peribadi berhubung isu itu, Najib berkata, perkara itu akan dipertimbangkannya.

“Apa-apa pun, segala kemungkinan akan berlaku, dan kita harap ia menemui kesudahan yang baik untuk Umno,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam laman blognya www.chedet.cc menggesa kerajaan supaya menerima sebarang nasihat bernas yang diberikan untuk manfaat rakyat dan negara.

Mengambil contoh seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu kesilapan yang dilakukan kepemimpinan negara sekarang, Dr Mahathir berkata, keputusan seperti itu menyebabkan kadar jenayah meningkat.

Umno teliti calon sesuai

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor, Umno sedang meneliti calon yang paling sesuai untuk diturunkan.

Najib berkata, senarai calon sudah pun dikenal pasti dan pemilihan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Majlis Tertinggi Umno hari ini (semalam) sudah mendengar penerangan daripada badan perhubungan Umno Kelantan mengenai PRK ini.

“Kita akan ambil kira semua kemungkinan (dalam pilih calon) memandangkan penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar merupakan tokoh yang amat popular dan mendapat sokongan yang banyak di kawasan tersebut.

“Kita akan teliti daripada semua bahagian iaitu Wanita dan Pemuda Umno selain memastikan calon tersebut akan berjaya menjadi wakil rakyat yang berkesan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Umno akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat setelah berjaya mengenalpasti calon yang sesuai merintis kecemerlangan yang ditinggalkan penyandangnya.

“Kita akan cuba cari calon dengan segera untuk pastikan persiapan mengerakkan jentera bagi menjamin kejayaan dalam PRK kali ini.

“Kita sudah ada senarai nama, tapi, buat masa sekarang kami sedang pertimbangkan semua dan kita akan umumkan siapa yg berjaya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, penelitian terperinci perlu dilakukan kerana mahu memastikan hanya yang benar-benar layak dan boleh menang akan dipilih.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");