Jenayah

Bapa saudara ke tali gantung

kanasan

SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh anak saudaranya, tahun lalu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap K.Kanasan, 60, selepas didapati bersalah membunuh S.Sinthuja, 19, yang juga merupakan pelajar kolej.

Tertuduh yang memakai baju lokap kelihatan tenang dan tunduk selepas mendengar keputusan itu.

Zabariah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat membunuh hingga menyebabkan kematian Sinthuja dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau pemotong daging.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Taman Desa Pelangi, Mantin, Nilai, di sini antara jam 1.30 petang dan 8.30 malam, pada 4 Januari 2013.

Pertuduhan terhadap Kanasan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika didapati bersalah.

Pada hari berkenaan, Sinthuja ditemui mati dengan kesan kelar pada leher oleh sepupunya di dalam sebuah bilik di rumah milik tertuduh.

Hasil siasatan, tertuduh akan menjemput anak saudaranya di kolej setiap hujung minggu dan membawanya pulang ke rumah.

Pada hari kejadian, tertuduh hanya berada di rumah bersama mangsa sehingga jam 6 petang dan kemudian pergi bekerja di sebuah kilang di Nilai di sini.

Sepupu mangsa pulang ke rumah berkenaan jam 8.30 malam dan menemui mangsa atas lantai bilik dalam keadaan berlumuran darah sebelum membuat laporan polis.

Berdasarkan siasatan polis menemui sebilah pisau pemotong daging atas tilam dalam bilik berkenaan. Hasil perbandingan cap jari mendapati terdapat kesan cap jari tertuduh pada pisau itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad; manakala tertuduh diwakili peguam, Jamal Abbas.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita warga Filipina turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 15,507 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Mejida Ladines Ehrdine, 39, selepas pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah juga menyatakan pembelaan tertuduh tidak mematahkan anggapan pengedaran dadah mengikut Seksyen 37 (d) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh dalam pembelaannya sebelum ini mengatakan dia diupah oleh seseorang untuk membawa beg berkenaan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur.

Dia juga memberitahu tidak mempunyai pengetahuan tentang kandungan dalam beg yang dibawa yang disangkanya mengandungi minyak wangi, rokok dan sabun.

Mengikut pertuduhan, Mejida didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 15,507 gram di Pejabat Kastam Cawangan Narkotik, Kampung Jijan, Nilai, dekat sini, kira-kira jam 6.10 petang, pada 6 Jun 2011.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");