Membawang Hari Ini

Bila Mamak & Cupcake bersatu

cupcake

BERMULA dengan kesukaran untuk mencari kedai kek cawan di sekitar Kuala Lumpur, menjadi pencetus idea buat Ahmad Izham Omar untuk kepada sebuah konsep filem baru berjudul Mamak Cupcake.

Apatah lagi pada ketika itu, (tahun 2011) cukup sukar untuknya mencari kedai kek cawan yang sedap dan banyak pilihan di Kuala Lumpur. Berbanding dengan kedai mamak yang boleh dijumpai di mana sahaja.

Dari situ, secara bergurau, Izham terfikir andai bagus jikalau di kedai mamak ada menjual kek cawan dan idea itu dikemukakan kepada M. Zul yang seterusnya mengolah kepada skrip filem berkenaan.

Khamis lalu, setelah hampir tiga tahun pembikinannya, filem arahan Woo Ming Jin dan dibarisi pelakon popular seperti Shaheizy Sam, Siti Saleha, Faizal Ismail (FBI), Azad Jasmin, Maria Farida, Natasha Hudson, dan Accapan menemui penonton di pawagam.

Filem ini berkisar seorang anak jati Penang berketurunan mamak iaitu Mohamad Jamaludin atau MJ (Sam) berdepan dengan konflik dalam menentukan matlamat hidupnya.

MJ amat meminati pembuatan cupcake sedangkan bapanya mengimpikannya untuk mewariskan perniagaan tradisi kedai mamak yang dimilikinya kepada MJ.

MJ hampir berputus asa sehinggalah beliau berjumpa dengan seorang gadis iaitu Juliana (Siti Saleha) yang mengembalikan semangatnya untuk merealisasikan impiannya.

Namun, pelbagai cabaran harus ditempuhi dalam merealisasikan impiannya itu.

Penulis yang berkesempatan menyaksikan filem tersebut baru-baru ini berpendapat filem ini mempunyai satu idea baru dan segar, di mana untuk pertama kalinya kita dapat melihat bagaimana seorang lelaki yang berketurunan India Muslim mempunyai keinginan yang berbeza.

Ini kerana jika kita lihat, India Muslim atau mamak lebih cenderung kepada roti canai, nasi kandar, teh tarik dan sebagainya. Namun berlainan dengan MJ yang menyukai pembikinan kek cawan yang sebenarnya lebih dimonopoli oleh golongan wanita.

Biarpun tidak berperwatakan lembut, MJ digambarkan menyukai kek cawan semenjak dia mula belajar di India berbanding pembuatan makanan seperti roti canai dan sebagainya.

Bagaimanapun jika melihat pada jalan cerita, biarpun ada diselitkan beberapa babak komedi, namun secara keseluruhan, penamatnya sudah boleh dijangka.

Bahkan secara ringkasnya dari mula hingga akhir, tidak ada kejutan, sebaliknya ia tidak ubah seperti sebuah drama yang sudah biasa kita tonton.

Percubaan Sam

Namun mujur produksi meletakkan Sam selaku teraju utama dan secara tidak langsung, ia menarik perhatian penonton dan melekakan dengan kekurangan yang terdapat pada jalan cerita.

Seperti biasa, lakonan Sam tidak mengecewakan dan percubaan Sam untuk menjadi mamak menarik perhatian, biarpun bak kata Azad Jazmin, Sam kelihatan seperti orang Jawa.

Biarpun tidak kelihatan seperti mamak, Ming Jin akan menceritakan di dalam filem ini mengapa Sam selaku MJ berbeza daripada abang dan bapanya.

Namun dengan dialek mamak dan aksinya dalam membuat teh tarik dan trademark ayat ‘Alo’, akan membuatkan penonton ketawa geli hati.

Jadi, bagi mengetahui kesudahan pilihan MJ; Adakah MJ akan terus meneruskan perjuangannya demi minat ataupun meneruskan tradisi turun temurun perniagaan keluarganya? Saksikan kesudahan filem Mamak Cupcake di pawagam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");